fbpx
Tangkap layar memaparkan hantaran tidak bertanggungjawab yang dimuat naik oleh seorang pengguna berkait bil telefon Khairul Aming.

Data bil telefon diceroboh, Khairul Aming tuntut penjelasan syarikat telco

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming menuntut penjelasan daripada sebuah syarikat telekomunikasi selepas mendakwa maklumat bil telefon peribadinya dipercayai telah dibocorkan kepada pihak lain.

Menerusi satu hantaran di laman Threads, Khairul Aming mempersoalkan bagaimana seorang individu boleh mengetahui butiran bil telefon bimbitnya sehingga mendedahkannya secara terbuka di media sosial.

Terdahulu, seorang pengguna Threads mendakwa Khairul Aming mempunyai tunggakan bil berjumlah RM498 selain mendakwa talian telefon berkenaan disekat kerana bayaran tidak mencukupi.

Individu itu turut mendakwa baki bayaran pendahuluan sebanyak RM2,000 yang dibuat bagi tempoh setahun tidak mencukupi susulan terdapat pembelian tambahan digital yang mencecah lebih RM400.

Bagaimanapun, Khairul Aming menjelaskan, pengguna tersebut tidak perlu mengulas mengenai jumlah bil tersebut kerana ia merupakan urusan peribadinya selain mengakui membuat bayaran secara pendahuluan untuk beberapa bulan.

“Tidak perlu diberitahu kerana ini ialah hal peribadi saya. Saya memang membayar bil lebih awal untuk beberapa bulan akan datang dan tidak sedar baki tersebut sudah berkurangan.

“Namun, apa yang menjadi persoalan ialah bagaimana anda boleh mengetahui maklumat bil saya sehingga sanggup mendedahkannya kepada umum? Itu merupakan data peribadi saya,” katanya.

Perkongsian itu turut mengundang kebimbangan orang ramai yang mempersoalkan kemungkinan berlaku kebocoran maklumat pelanggan dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan sekiranya dakwaan tersebut benar.

Seorang pengguna, @Situcenoya berkata, individu yang mendedahkan maklumat tersebut dipercayai mempunyai akses kepada sistem dalaman syarikat telekomunikasi.

“Tuan KA lihat pada profilnya, dia turut menawarkan perkhidmatan semakan MySara,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @Smhrh menyifatkan tindakan menggunakan maklumat peribadi orang lain tanpa kebenaran sebagai satu penyalahgunaan data.

“Ini jelas satu penyalahgunaan maklumat peribadi. Sesiapa sahaja tidak boleh menggunakan nombor kad pengenalan individu untuk membuat semakan MySara. Keadaan ini sangat membimbangkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN