JAKARTA – Seorang mahasiswa universiti di Indonesia mengejutkan orang ramai apabila membawa seekor ular sawa semasa melakukan sesi pembentangan tugas akhir (tesis), lapor portal berita Lambe Turah.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @sellyrs menunjukkan pelajar lelaki itu sedang membentangkan tesisnya yang bertajuk ‘Kepelbagaian Spesies Ular di Pulau Enggano’.
Apabila ditanya mengenai sampel kajian, pensyarah terkejut melihat dia mengeluarkan seekor ular sawa dari dalam sebuah kotak.
Menurut pelajar berkenaan, pemilihan topik tesis itu berdasarkan hobinya yang gemar memelihara ular.
“Ia adalah hobi. Saya mempunyai banyak ular di rumah dan saya sering diberikan ular sebagai hadiah,” katanya.
Rakaman itu mencatatkan lebih 531,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Terus lulus!” kata seorang netizen. – AGENSI














