BESUT – Seorang peniaga roti canai dan isteri tabah menerima ujian apabila dua anak mereka menghidap penyakit jantung kongenital kronik sejak lahir.
Farid Fakimi Mohamad, 45, berkata, dua anaknya yang sakit itu ialah anak keduanya, Muhammad Fayyadh Anaqi Farid, 4, dan Muhammad Firas Anaqi Farid berusia 16 bulan.
Katanya, Fayyadh menderita penyakit jantung berlubang dan saluran jantung sempit, manakala adiknya, Firas pula menghidap jantung berlubang serta saluran darah tersumbat.
“Hospital seperti rumah kedua apabila kami perlu berulang-alik setiap bulan demi rawatan dua beradik ini,” katanya di kedai roti canainya di Kampung Gertak Seratus di sini kelmarin.
Katanya, Fayyadh telah menjalani pembedahan jantung di sebuah pusat perubatan di Bangsar, Kuala Lumpur pada Mac lalu.
Katanya, sebahagian besar pembedahan itu ditanggung pusat perubatan itu dan dia hanya perlu membayar RM3,500 menerusi wang simpanan dan sumbangan orang ramai.
“Fayyadh kini makin sihat dan cergas, cuma masih perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
“Adiknya pula yang masih menjalani rawatan intensif di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dijangka menjalani satu lagi pembedahan major di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada September depan,” katanya.
Farid Fakimi berkata, sebelum ini, Firas pernah menjalani prosedur pemasangan stent sewaktu berusia sebulan dengan sebahagian kos RM38,000 dibiayai oleh IJN dan Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.
Begitupun, dia mengakui kos berulang-alik untuk rawatan anak-anaknya di HUSM dan IJN amat tinggi sedang pendapatan hariannya menjual roti canai kurang RM100.
“Banyak hari juga saya terpaksa tutup kedai terutama sewaktu perlu ke HUSM dan IJN,” katanya.
Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank Farid Fakimi bernombor 2006363000084145 (Agrobank) atau menghubunginya di talian 019-409 7954.














