PETALING JAYA – Jabatan Kimia Malaysia (Kimia Malaysia) mendedahkan, mereka menerima lebih sejuta sampel untuk dianalisa tahun lalu sedangkan mereka hanya mempunyai 476 kakitangan di semua bahagian di seluruh negara.
Keadaan itu menyebabkan banyak analisa kes berkaitan forensik tertangguh.
Bebanan kerja itu juga memberi tekanan kepada kapasiti makmal yang pembinaan asalnya dirancang untuk menampung kira-kira 60 pegawai.
Ketua Pengarahnya, Marhayani Md. Saad berkata, jumlah kes dan sampel yang diterima meningkat sebanyak 116 peratus sejak 2014 sedangkan pertambahan perjawatan terakhir yang diluluskan lebih sedekad lalu.
Katanya, pada 2025, mereka menerima 1.05 juta sampel daripada pelbagai agensi termasuk polis, kastam, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Kesihatan.
“Pada 2014, kami menerima tambahan seramai 117 pegawai merangkumi ahli kimia dan pegawai sains sebelum jumlah kes serta sampel terus meningkat sehingga tahun ini.
“Apabila ruang terhad, kita tidak boleh mengendalikan terlalu banyak barang kes pada satu-satu masa kerana setiap sampel memerlukan kawalan keintegritiannya dan keputusan analisis itu kelak perlu dipertahankan di mahkamah,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Marhayani, pihaknya ada membuat permohonan pertambahan jawatan baharu selaras dengan peningkatan beban kerja itu.
Tambahnya, jabatan itu mempunyai empat pusat utama iaitu Analisis Sains Forensik, Analisis Keselamatan Air Minum, Makanan dan Alam Sekitar, Analisis Industri dan Tarif Kastam serta Pengurusan Kualiti dan Penyelidikan.
“Piagam pelanggan bagi kebanyakan analisis menetapkan laporan disiapkan dalam tempoh sebulan, namun tempoh sebenar bergantung kepada jenis kes, parameter dimohon dan kerumitan sampel,” katanya.
Ujar Marhayani, kes yang melibatkan ramai mangsa atau risiko langsung kepada orang awam akan diberikan keutamaan supaya agensi penguat kuasa dan pihak kesihatan dapat bertindak segera.
“Penyediaan laporan boleh dilakukan dengan pantas selepas keputusan analisis diperoleh, namun pelaksanaan ujian perlu melalui beberapa peringkat.
“Setiap sampel perlu didaftarkan, didokumentasikan, dianalisis dan diinterpretasi sebelum draf laporan disemak serta barang kes dimeterai semula bagi menjamin integritinya,” katanya.
Menurut Marhayani, antara kes paling mencabar adalah tragedi Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor pada 7 Mac 2019.
Susulan kejadian tersebut, Kimia yang berada di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melaksanakan inisiatif membangunkan sebuah makmal bergerak pertama di Asia.
Ia membolehkan pakar menganalisis sampel dan bahan kimia berbahaya secara terus di lokasi kejadian.
“Ketika insiden Sungai Kim Kim, penghantaran sampel perlu mengambil masa. Bagi bahan kimia yang mudah meruap, kelewatan atau penyimpanan pada suhu yang tidak sesuai boleh menyebabkan bahan itu tidak lagi dapat dikesan.
“Makmal itu membolehkan kita berada sehampir mungkin dengan lokasi kejadian dan menjalankan analisis dengan segera bagi mengenal pasti bahan kimia terlibat sekali gus pihak kesihatan boleh menentukan rawatan yang bersesuaian,” ujarnya.
Dalam usaha mempercepatkan pengeluaran laporan, Kimia turut menerima kelulusan RM59.6 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 bagi membangunkan makmal pintar berasaskan kecerdasan buatan dan data raya.














