fbpx
KERAJAAN menanggung subsidi RM40 bilion untuk memastikan RON95 Malaysia antara termurah di dunia.

Situasi ekonomi kini jauh lebih baik?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MAC lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati rakyat supaya berjimat cermat, menabung dan berbelanja secara berhemah berikutan ketidaktentuan ekonomi global terutamanya akibat konflik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan dunia, sekali gus memberikan tekanan pada harga barang.

“Saya suruh supaya semua masyarakat, rakyat, kalangan pekerja dan peniaga waspada dan tidak memandang ringan perkara ini. Jika keadaan berterusan, ia boleh menjadi krisis ekonomi yang lebih besar daripada dijangka,” katanya.

Empat bulan ke hadapan, hari ini bagi Malaysia sekurang-kurangnya, kebimbangan yang diutarakan Perdana Menteri, dan ramai penganalisis ekonomi lain dilihat belum menjadi realiti.

Jabatan Perangkaan pada Jumaat lalu mengumumkan anggaran awalan pertumbuhan ekonomi negara pada suku tahun kedua pada tahap sangat baik, iaitu 5.8 peratus, manakala kadar inflasi pada Jun meyederhana kepada 1.9 peratus berbanding dua peratus pada Mei.

Pandangan optimis turut diutarakan firma penyelidikan seperti Hong Leong Investment Bank yang menaik taraf unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara untuk 2026 daripada 4.5 peratus kepada 4.7 peratus.

AmBank pula menyemak naik jangkaan pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 4.8 peratus, juga berbanding 4.5 peratus sebelum ini.

Ini berlaku ketika firma antarabangsa seperti Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026, manakala Tabung Kewangan Antarabangsa menyemak turun unjuran pertumbuhan global kepada tiga peratus berbanding jangkaan awal 3.1 peratus.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi, AmBank Group, Firdaos Rosli, antara faktor yang menyebabkan Malaysia dilihat sedikit terlindung daripada trend global ialah peningkatan hasil negara berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Hasil negara bagi tempoh lima bulan pertama 2026 telah meningkat 11 peratus kepada RM138.4 bilion berbanding RM124.8 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, dan RM118.5 bilion pada 2024 yang memberikan ruang fiskal lebih baik kepada kerajaan.

“Mungkin ini akan memberikan sedikit sebanyak ruang kepada kerajaan untuk berbelanja lebih sedikit untuk melindungi ekonomi negara daripada beban kenaikan harga barang, minyak dan bahan-bahan lain.

“Selain itu, kita ada dasar yang agak berbeza berbanding negara-negara lain, contohnya apabila ada kenaikan harga minyak dunia, Malaysia akan cuba untuk melindungi ekonomi negara daripada terkena beban secara terus (menerusi pemberian subsidi).

“Ini bukan sahaja berlaku ketika ini, malah sama seperti tahun 2022 disebabkan oleh perangan Russia dan Ukraine, juga episod-episod sebelumnya seperti pada 2008 apabila kenaikan harga minyak Brent meningkat sehingga paras AS$148 setong.

“Mungkin ada sedikit perbezaan dari segi aplikasi kerana sekarang kita ada had penggunaan 200 liter, namun secara umumnya saya dapat rumuskan bahawa dasar negara adalah baik dan boleh diramal,” katanya.

Firdaos berkata, pihaknya melihat ada kelangsungan yang memungkinkan prestasi ekonomi Malaysia berterusan pada separuh tahun kedua 2026, meskipun mungkin pada kadar yang sedikit perlahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN