PASIR MAS – “Mangsa memakai pakaian dan tudung labuh semasa berjoging, namun tertuduh masih tergamak untuk merogol.”
Demikian hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Raya, Siti Aisyha Nai’lah Harizan sebelum Hakim Mahkamah Sesyen, Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan ke atas mekanik, Muhammad Faryzuan Aiman Mat Yatim hari ini.
Terdahulu, Muhammad Faryzuan, 23, mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan merompak seorang remaja perempuan berusia 15 tahun ketika berjoging bulan lalu.
Siti Aisyha Nai’lah memohon hukuman yang setimpal kerana tertuduh melakukan dua kesalahan iaitu merompak telefon bimbit dan menyebabkan kecederaan serta merogol mangsa.
“Pukulan kuat pada bahagian belakang dan muka dengan sebatang kayu menyebabkan remaja itu mengalami kecederaan parah sebelum tertuduh bertindak merogol remaja itu.
“Tertuduh juga menjual telefon bimbit jenis Vivo Y19 milik mangsa pada harga RM35 di sebuah premis sekali gus menunjukkan betapa rendahnya maruah remaja itu dengan perbuatannya,” katanya.
Muhammad Faryzuan bagaimanapun merayu hukuman ringan dengan alasan perlu menanggung isteri dan seorang anak berusia tiga tahun.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 7 Julai lalu dan lima sebatan bagi pertuduhan pertama serta penjara lima tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan kedua.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan secara berasingan.
Selain itu, hakim turut memerintahkan pemuda itu menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama tiga tahun selepas hukuman penjara berakhir.
Tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 15 tahun sebulan dan menyebabkan kecederaan kepada mangsa mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.
Lelaki itu turut dituduh merompak telefon bimbit Vivo Y19 milik mangsa sama dengan sebatang kayu. Oleh itu dia dituduh mengikut Seksyen 392 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di kawasan semak Kampung Mesira, Palekbang dekat Tumpat kira-kira pukul 7.40 pagi, 17 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE














