fbpx
Murid SK Jeram Tekoh, Gua Musang dihantar pulang ke rumah dengan menaiki lori APM selepas kawasan kampung itu terjejas banjir kilat hari ini. FOTO IHSAN APM

Banjir kilat, 97 murid SK Jeram Tekoh balik sekolah naik lori APM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Seramai 97 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Tekoh di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh di sini dihantar pulang ke rumah masing-masing menggunakan lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas banjir kilat menenggelamkan laluan utama ke kampung tersebut hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu berlaku susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi sehingga menyebabkan beberapa jalan kampung dan laluan utama dilimpahi air sekali gus tidak dapat dilalui kenderaan ringan.

Pegawai APM Gua Musang, Mohd. Hanafi Mohd. Bokri berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada pukul 10.15 pagi sebelum menggerakkan enam anggota bersama sebuah lori lima tan ke lokasi.

Katanya, operasi penghantaran pulang murid dijalankan kerana jalan utama dan beberapa jalan kampung hanya boleh dilalui kenderaan berat.

“Sejurus menerima laporan, enam anggota bersama sebuah lori lima tan digerakkan ke lokasi. Seramai 97 murid berjaya dihantar pulang ke rumah masing-masing termasuk seorang murid prasekolah.

“Murid yang dihantar pulang terdiri daripada 20 orang murid Zon 1, 17 orang (Zon 2), 16 orang (Zon 3), 16 orang dari Kampung Baru dan 28 orang murid dari Sungai Asap,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mohd. Hanafi memberitahu, keadaan banjir ketika ini semakin surut, namun hujan renyai masih berlaku di beberapa kawasan di daerah ini.

Sementara itu, penduduk, Kamarul Aiman Kamarudin, 29, berkata, hujan lebat yang bermula kira-kira pukul 3 pagi tadi menyebabkan Sungai Cheweh melimpah sehingga air menutupi jalan kampung dan laluan utama ke penempatan berkenaan.

Katanya, kejadian banjir kilat itu adalah yang pertama berlaku di kawasan berkenaan pada tahun ini.

“Kami tidak menjangkakan hujan berterusan selama 6 jam 30 minit menyebabkan paras air meningkat sehingga melimpah ke jalan dan menyebabkan banjir kilat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN