PENGENDALI sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe enggan dibuai kejayaan lama bersama pasukan kebangsaan sebaliknya memberikan sepenuh fokus untuk mendapatkan keputusan terbaik pada kempen kali ini.
Cheng Hoe berpendapat, tiada perbandingan yang boleh dilakukan kerana bola sepak sentiasa berubah mengikut peredaran masa dan bergantung kepada beberapa lagi faktor lain.
Bekas pengendali Kedah dan Selangor itu juga merasakan tempoh masa mempersiapkan pasukan juga agak berbeza berbanding ketika beliau membantu Harimau Malaya muncul naib juara Piala ASEAN 2018.
“Kalau kita tengok cabaran kali ini agak berlainan daripada 2018 kerana ketika itu saya ada masa yang agak panjang untuk membawa pasukan. Tetapi, kali ini cabaran berlainan dengan kebanyakan pemain memang masih lagi mentah dari segi (pertandingan) peringkat antarabangsa.
“Bagaimanapun, saya rasa ramai pemain yang ada keinginan untuk mencapai sesuatu dalam karier atau dalam kempen kali ini membolehkan kami membina keyakinan,” katanya.
Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan B bersama juara tujuh kali, Thailand, Filipina, Myanmar dan Laos.
Harimau Malaya akan berlepas ke Yangon, Myanmar, Khamis ini bagi menghadapi perlawanan pertama menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, pada Sabtu nanti.
“Cabaran yang besar adalah untuk dapatkan satu keserasian yang terbaik. Apa yang kita penting dalam bola sepak adalah keserasian dan kerja berpasukan yang boleh membawa pasukan ke satu tahap terbaik,” katanya.














