fbpx
PIALA Dunia menjadi pentas kejohanan bola sepak paling berpestij yang diraikan setiap empat tahun sekali. - AFP

Selepas Piala Dunia, kita mahu layan apa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Selama 39 hari, kehidupan manusia tiba-tiba menjadi sibuk. Di Malaysia, jam dua atau tiga pagi bukan lagi waktu untuk tidur, sebaliknya saat itulah kedai mamak penuh, ruang tamu rumah kembali hidup dan telefon bimbit menjadi ‘stadium mini’.

Semuanya atas satu tujuan, menyaksikan salah satu kejohanan terbesar dan termahal di muka bumi iaitu Piala Dunia.

Mata mengantuk tidak lagi menjadi alasan. Esok mengantuk di pejabat pun tidak mengapa, asalkan malam sebelumnya sempat menyaksikan jaringan kemenangan atau penentuan sepakan penalti yang mendebarkan.

Begitulah hebatnya Piala Dunia. Sebuah kejohanan yang bukan sekadar menghimpunkan 48 negara, tetapi menyatukan berbilion manusia dengan satu bahasa yang sama – bola sepak.

Di media sosial, semua tiba-tiba menjadi pengulas. VAR dipersalahkan, pengadil dihentam, penjaga gol dipuji dan pemain yang gagal menyempurnakan penalti menjadi bahan perdebatan berhari-hari lamanya.

Kita ketawa, kita marah, kita berdebar dan kita bersorak bersama-sama, walaupun menyokong pasukan yang berbeza.

Dan pada pagi semalam, tirai Piala Dunia akhirnya ditutup. Sepanyol menewaskan Argentina dan Lionel Messi untuk sekali lagi menjulang trofi paling berprestij dalam bola sepak itu selepas 2010.

Bagi jutaan peminat di seluruh dunia, mereka mula menerima hakikat bahawa pesta itu sudah berakhir.

Kini bendera pasukan kembali dilipat dan jersi yang dipakai hampir setiap malam kembali disimpan. Lalu timbul satu persoalan yang mungkin bermain dalam fikiran ramai orang.

Selepas Piala Dunia, kita mahu layan apa? Adakah kita akan kembali menghadap drama bersiri, melayari media sosial tanpa henti atau menyambung semula rutin yang kita tinggalkan demi bola sepak?

Hakikatnya, Piala Dunia memberi kita satu perkara yang jarang berlaku pada zaman hari ini iaitu peluang untuk berkongsi emosi secara serentak dengan jutaan manusia lain.

Selepas ini, tumpuan pasti kembali kepada Liga Malaysia, Liga Perdana Inggeris, La Liga, Serie A, Bundesliga dan Liga Juara-Juara. Semuanya hebat, tetapi aura Piala Dunia tetap tidak mampu ditandingi.

Dalam beberapa hari lagi, kita juga akan kembali bercakap tentang harga barang, bil elektrik, kesesakan jalan raya, politik, pekerjaan dan pelbagai cabaran hidup yang tidak pernah berhenti menunggu.

Barangkali di situlah nilai sebenar sukan. Ia bukan sekadar menentukan siapa juara dan siapa tewas. Ia memberi manusia ruang untuk berehat daripada beban kehidupan, walaupun hanya selama 90 minit.

Sebab itu, jangan biarkan semangat kebersamaan yang lahir sepanjang Piala Dunia berakhir bersama tiupan wisel penamat.

Jika bola sepak mampu membuatkan kita duduk semeja, ketawa bersama dan saling menghormati walaupun menyokong pasukan yang berbeza, mengapa perkara yang sama sukar dilakukan dalam kehidupan seharian?

Akhirnya, yang paling kita rindui nanti bukanlah jaringan cantik, aksi akrobatik penjaga gol atau trofi yang dijulang.

Sebaliknya, kita akan merindui detik berjaga malam bersama keluarga, gelak tawa bersama sahabat, sorakan di kedai mamak dan perasaan luar biasa yang hanya akan kita rasai lagi pada tahun 2030.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN