fbpx
HAKIM Danish (kiri) hadir ke ibu pejabat MKA Group di Puchong untuk memeterai perjanjian kerjasama serta menerima tajaan kelengkapan motosikal.

Hakim Danish enggan terburu-buru ke Moto2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUCHONG – Pelumba sensasi negara, Hakim Danish Ramli belum bersedia untuk melangkah ke pentas Moto2 apabila berhasrat kekal dalam saingan Moto3 bagi terus menimba pengalaman serta meningkatkan kemampuannya terlebih dahulu di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia.

Pelumba berusia 19 tahun itu mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari dalam kelas Moto3 sebelum menyahut cabaran lebih besar di Moto2.

Menurut Hakim Danish, keputusan mengenai hala tuju kariernya tidak terletak sepenuhnya di tangannya kerana segala urusan berkaitan kontrak dan pemilihan pasukan diserahkan kepada pengurusnya, Zulfahmi Khairuddin.

“Bagi saya, mungkin saya mahu kekal semusim lagi di Moto3. Apa pun keputusannya, saya serahkan kepada pengurus saya, Zulfahmi kerana dia yang akan menentukan hala tuju terbaik untuk karier saya,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat MKA Group di sini hari ini.

Mengulas sebab mahu terus beraksi di Moto3, Hakim Danish berkata, dia masih memerlukan lebih banyak pengalaman untuk mendalami aspek teknikal, strategi perlumbaan dan pengendalian jentera sebelum beralih ke kategori lebih tinggi.

“Kalau saya kekal lagi di Moto3, saya boleh belajar dan memahami lebih banyak perkara, termasuk strategi perlumbaan serta cara mengendalikan jentera dengan lebih baik. Semua itu penting sebagai persediaan sebelum ke Moto2.

“Kalau prestasi saya bagus, mungkin peluang itu akan datang. Tetapi kalau prestasi saya belum cukup baik, sudah tentu saya belum layak untuk naik. Jadi semuanya bergantung kepada apa yang saya tunjukkan di atas litar,” ujarnya.

Juara Moto3 Grand Prix Republik Czech itu turut memberi bayangan bahawa sasaran untuk beralih ke Moto2 adalah sekitar musim 2028, namun hanya selepas benar-benar bersedia untuk bersaing di kategori berkenaan.

Terdahulu, Zulfahmi mendedahkan Hakim Danish kini menjadi buruan enam pasukan termasuk Moto2, malah pertemuan dengan wakil pasukan terbabit sudah diadakan bagi membincangkan perancangan masa depan pelumba kelahiran Terengganu itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN