SEREMBAN – Isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik serta kualiti perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) dijangka menjadi antara modal utama yang mencorakkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr. Mohd. Azmir Mohd. Nizah berkata, walaupun gabungan kerajaan negeri mempunyai kelebihan sebagai penyandang, pola pengundian masih boleh berubah bergantung kepada prestasi pentadbiran negeri, sentimen terhadap Kerajaan Persekutuan dan keadaan ekonomi semasa.
Menurut beliau, peningkatan kos sara hidup dijangka terus menjadi isu paling dekat dengan pengundi apabila membabitkan kenaikan harga makanan, harga rumah, gaji graduan, harga petrol dan tarif elektrik.
“Isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat lazimnya lebih mudah mempengaruhi pertimbangan pengundi berbanding isu politik yang bersifat umum,” katanya kepada Kosmo!
Beliau berkata, di kawasan bandar seperti Seremban, Nilai dan Port Dickson, pengundi dijangka turut menilai keberkesanan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menangani isu tempatan seperti banjir kilat, longkang tersumbat, caj parkir, penyelenggaraan pokok, kebersihan bandar serta masalah anjing liar dan burung gagak.
“Pembangunan pesat di Nilai juga dijangka menjadi perhatian apabila penduduk terus membangkitkan isu kesesakan lalu lintas, pembangunan perumahan yang berkembang lebih pantas daripada penyediaan kemudahan awam, selain isu rizab jalan,” katanya.
Selain pembangunan fizikal, katanya, peluang pekerjaan khususnya kepada graduan, belia dan pekerja sektor perkilangan serta kemampuan memiliki rumah di kawasan seperti Nilai, Seremban dan Sendayan dijangka terus menjadi tuntutan utama pengundi.
“Dalam masa sama, isu identiti Melayu-Islam termasuk aspek mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam, integriti serta agenda membanteras rasuah dijangka terus mewarnai kempen terutama di kawasan majoriti Melayu,” katanya.
Mengulas faktor yang dijangka menentukan keputusan pilihan raya, beliau berkata kadar keluar mengundi, sokongan pengundi berusia bawah 40 tahun, kecenderungan pengundi atas pagar di kawasan separa bandar, prestasi ekonomi negara, kekuatan jentera parti serta pengaruh calon tempatan akan menjadi antara penentu utama.
“Dari sudut persaingan parti, pula BN perlu mengekalkan hampir semua kerusi majoriti Melayu di samping berusaha menambah sokongan di beberapa kerusi campuran seperti Nilai, Sikamat dan Chennah.
“PH pula perlu mempertahankan penguasaan di kawasan bandar serta memastikan kerusi campuran seperti Bahau, Nilai, Chennah dan Sri Tanjung kekal memihak kepada gabungan itu.
“Sementara itu, PN dilihat masih mempunyai peluang lebih besar di kerusi majoriti Melayu. Namun, sekiranya berlaku perubahan sokongan pengundi Melayu kepada BN, PN berisiko kehilangan sebahagian pengaruhnya,” ujarnya.
Menurut beliau, daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekitar 15 merupakan kerusi majoriti Melayu, sembilan kerusi campuran dengan pengundi Melayu masih dominan dan baki 11 hingga 12 kerusi lagi terdiri daripada kerusi campuran atau majoriti bukan Melayu.














