CHENGDU dan kawasan sekitarnya di Wilayah Sichuan, China merupakan antara destinasi yang paling memberikan kenangan manis sepanjang pengembaraan saya.
Saya berpeluang melawat kawasan ini pada musim sejuk, ketika cuaca dingin dan kawasan pergunungan diselaputi salji.
Bagi saya, setiap hari di sini membawa pengalaman baharu yang sukar dilupakan. Daripada melihat hidupan ikonik China hingga menikmati keindahan alam semula jadi yang luar biasa.
Perjalanan saya sudah tentu tidak lengkap tanpa mengunjungi pusat konservasi panda di Chengdu. Melihat panda secara dekat merupakan pengalaman yang saya nantikan sejak sekian lama.
Gelagat panda yang sedang makan buluh, bermain sesama sendiri dan berehat dengan tenang benar-benar mencuit hati.
Jadi tidak hairanlah, Chengdu dikenali di seluruh dunia sebagai bandar yang sinonim dengan haiwan comel itu.

Selain tarikan pelancongan, saya juga berpeluang melihat sendiri kehidupan masyarakat Islam di Chengdu.
Terdapat komuniti Muslim yang masih mengekalkan budaya serta cara hidup mereka, lengkap dengan masjid dan restoran halal.
Menikmati makanan halal tempatan sambil berinteraksi dengan masyarakat di sana memberikan pengalaman yang lebih bermakna kerana saya dapat mengenali budaya mereka dengan lebih dekat.
Saya juga berkesempatan mengunjungi kawasan Muslim Street yang dipenuhi pelbagai gerai makanan halal dalam suasana yang cukup meriah.

Antara destinasi yang paling meninggalkan kesan dalam hati saya adalah Jiuzhaigou. Walaupun terletak beberapa jam perjalanan dari Chengdu, namun tempat ini sememangnya berbaloi untuk dikunjungi.
Jiuzhaigou terkenal dengan tasik-tasiknya yang berwarna biru jernih sehingga kelihatan seperti tidak nyata.
Walaupun saya sering melihat gambar tasik-tasik ini di media sosial, namun keindahan sebenar yang terbentang di hadapan mata jauh lebih menakjubkan.
Air yang jernih dipadankan dengan latar belakang gunung dan hutan diselaputi salji menghasilkan panorama sukar digambarkan dengan kata-kata.

Bagi saya, inilah antara lokasi paling cantik pernah saya lawati. Pengalaman paling menyeronokkan sepanjang perjalanan ini adalah ketika berpeluang bermain ski buat kali pertama di Xiling Snow Mountain.
Pada mulanya, saya agak kekok dan beberapa kali terjatuh, namun dengan sedikit latihan saya mula membiasakan diri. Walaupun penat, namun pengalaman meluncur di atas salji memberikan satu kepuasan yang sukar digambarkan dan menjadi antara kenangan paling menyeronokkan sepanjang percutian.
Lebih istimewa, saya berpeluang bermalam di sebuah tapak glamping di Xiling Snow Mountain yang dikelilingi salji. Bangun pada waktu pagi sambil melihat pemandangan putih saujana mata memandang merupakan pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan.
Suasana tenang, udara yang begitu segar dan kesejukan musim sejuk menjadikan malam antara detik paling indah sepanjang pengembaraan saya.
Sepanjang perjalanan di Chengdu dan seluruh Wilayah Sichuan, saya turut menikmati pemandangan gunung, tasik, bandar-bandar kecil serta jalan raya yang dipenuhi panorama indah.
Pada pendapat saya, Chengdu dan Wilayah Sichuan merupakan destinasi yang sangat sesuai bagi mereka yang ingin merasai pengalaman musim sejuk.
Ia satu perjalanan yang penuh dengan pengalaman baharu dan pastinya akan sentiasa dihargai diri ini.














