fbpx
Tangkap layar video memaparkan seorang polis Thailand sedang mengeluarkan saman kepada penunggang motosikal Malaysia.

Jaga-jaga, polis Thailand rancak buru ‘rider’ Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis Thailand didakwa semakin rancak memburu penunggang motosikal dari Malaysia apabila seorang individu berkongsi pengalamannya ditahan dan disaman ketika berada di negara jiran itu.

Menerusi video tular di Threads, seorang penunggang dikenali sebagai Amirul Firdaus memaparkan dirinya ditahan anggota polis Thailand sebelum dikenakan tindakan dipercayai kerana nombor pendaftaran motosikalnya dilipat sehingga sukar dilihat.

Nombor plat lipat merujuk kepada plat nombor motosikal yang dibengkokkan atau dilipat ke atas, biasanya pada bahagian bawah, sehingga nombor pendaftaran tidak dapat dilihat dengan jelas dari belakang.

Di dalam video tersebut polis berkenaan menahannya sebelum memanggil seorang warga Thailand yang boleh berbahasa Melayu untuk menjelaskan perkara sebenar kepada Amirul.

“Ini belakang salah, kena pergi balai polis sana, kena bayar duit,” jelas warga Thailand tersebut.

Kemudian, anggota polis itu dilihat mengeluarkan sekeping notis saman yang dicetak sebelum menyerahkannya kepada penunggang warga Malaysia berkenaan, yang kemudiannya akur menjelaskan bayaran saman tersebut.

Amirul dalam ruangan komen mengakui beberapa motosikal dalam kumpulannya menjadi perhatian anggota polis, sedangkan perkara sama didakwa tidak berlaku ketika kunjungannya sebelum ini.

“Betul, memang mereka sasarkan motosikal sahaja kebelakangan ini. Sebelum ini memang tiada masalah pun,” katanya.

Kejadian itu mengundang pelbagai reaksi dengan sebahagian pengguna media sosial mendakwa motosikal bernombor pendaftaran Malaysia kini sering menjadi perhatian pihak berkuasa di sana.

“Polis sana memang sasarkan nombor pendaftaran Malaysia. Seboleh-bolehnya mereka akan cari kesalahan untuk keluarkan saman. Kalau ada lesen fizikal, mereka akan cari kesalahan lain pula,” komen Shikura.

“Motosikal Malaysia memang mereka sasarkan sekarang. Secara rawak sahaja mereka pilih dan suruh berhenti di tepi jalan,” komen Amnyrahman.

“Polis sana memang target (sasar) nombor plat Malaysia bang. Jadi kena bersedia bayar,” komen Vargeen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN