PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung isu kerugian pelaburan berjumlah RM200 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, E-Fishery.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, satu pasukan siasatan dari Ibu Pejabat SPRM telah dibentuk pada semalam bagi mengkaji dan meneliti isu tersebut secara menyeluruh.
Katanya, pihaknya menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan adil, telus dan saksama berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai siasatan ini bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga integriti proses siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata keputusan pelaburan E-Fishery dibuat melalui proses penilaian dan tadbir urus berdasarkan maklumat tersedia yang merangkumi pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.
Anwar berkata, pada masa sama, konsortium pelabur termasuk KWAP juga sudah melaksanakan usaha wajar bebas bagi memastikan semua maklumat adalah lengkap dan sahih untuk pertimbangan pelaburan.
KWAP dilaporkan melabur AS$47.7 juta (kira-kira RM200 juta) dalam syarikat E-Fishery pada Julai 2023.
Syarikat pemula niaga itu dipersembahkan sebagai firma akuakultur berasaskan teknologi yang kononnya mampu memodenkan industri penternakan ikan dan udang.
Tahun lalu, pengasas bersama E-Fishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh mahkamah di Bandung, Indonesia, selepas disabitkan kesalahan melakukan pecah amanah dan pengubahan wang haram. – KOSMO! ONLINE














