fbpx

‘Saya suka orang yang matang, Azeva bijak soal kerja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Didakwa sedang hangat menjalin cinta, penyanyi muda, Zaki Yamani menegaskan status hubungannya dengan rakan seangkatan, Azeva ketika ini sekadar kawan baik.

Zaki atau nama penuhnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 20, berkata, Azeva merupakan kawan wanita yang paling rapat dengannya ketika ini dan mereka saling berkongsi banyak perkara bersama.

“Sebenarnya, kami sudah saling mengenali sejak tahun lalu, sebelum dia sertai program Talk To My Manager 2 (TTMM2). Ditambah pula ibunya, Datuk A. Aida pun minat dan suka dengar lagu raya saya, Raya Tak Nak Single.

“Sejak itu, kami pun mula akrab dan sekarang hubungan kami di fasa kawan rapat.

“Hubungan kami baik dan memang akan kongsi dan maklumkan antara satu sama lain tentang semua perkara yang berlaku,” katanya kepada Kosmo! Online.

Zaki juga mengakui Azeva memiliki keperibadian yang sangat menyenangkan sekali gus membuatkan mereka mudah serasi.

“Saya suka berkawan dengan orang yang matang, dalam fikirannya boleh fikir macam-macam termasuk mengenai bisnes dan kerjaya seni.

“Azeva bijak dalam hal berkaitan kerja dan sangat positif. Kami saling membantu  dan senang nak berkomunikasi dengannya.

“Mak saya pun pernah pesan, berkawanlah dengan orang hebat, kita pun akan berjaya,” katanya lagi.

Dia juga memberitahu sedar dengan kehendak peminat yang mahu melihatnya menjalin hubungan cinta dengan Azeva.

Anak kepada penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah itu bagaimanapun berkata fokus utamanya ketika ini adalah kerjaya seni.

“Saya baca banyak komen, ramai yang nak lihat kami bersama tetapi buat masa sekarang nak fokus pada diri sendiri dahulu.

“Sekarang saya dan Azeva memang terikat untuk beberapa projek dengan produk dan insya-Allah akan muncul dengan single duet tidak lama lagi,” kongsinya.

Zaki juga memohon orang ramai khususnya peminat untuk terus mendoakan yang terbaik buatnya dan Azeva.

“Doakan yang baik-baik saja, kami masih muda dan usia masing-masing belum mencecah 30 pun lagi.

“Sekarang kami pun baru mencari hala tuju dalam kerjaya, belajar selok-belok industri dan belajar perjalanan hidup,” ujarnya lagi.

Terdahulu, khabar angin Zaki dan Azeva menjalin hubungan cinta mula bertebaran selepas melihat kerap muncul melakukan siaran langsung TikTok bersama.

Zaki juga kerap hadir ke konsert mingguan TTMM2 bagi memberi sokongan kepada Azeva yang merupakan salah seorang peserta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN