NEW DELHI – Seorang penangkap ular di India mengundang perhatian orang ramai selepas menangkap seekor ular tedung selar (king cobra) sepanjang 3 meter hanya menggunakan tangannya, lapor akhbar Times of India.
Kejadian berlaku apabila sebuah keluarga di kampung Bishaha, negeri Bihar menyedari kehadiran ular berbisa itu di dalam rumah mereka, baru-baru ini.
Mereka bergegas keluar rumah dan memaklumkan penemuan mengejutkan itu kepada penduduk kampung.
Orang ramai melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa dan menghubungi seorang penangkap, Janki Devi atau dikenali sebagai ‘Wanita Ular’ kerana bimbang dipatuk.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @indiatoday menunjukkan Janki menangkap reptilia itu tanpa sebarang peralatan khas sebelum dimasukkan ke dalam kotak.
Ular itu dibawa jauh dari kawasan perumahan dan dilepaskan semula ke dalam hutan. – AGENSI














