PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan setiap sumbangan diterima menerusi Larian Kesyukuran Muar amat bermakna, biarpun hanya bernilai 50 sen.
Menurutnya, nilai sesuatu sumbangan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah semata-mata kerana setiap sen yang diberikan lahir daripada keikhlasan orang ramai untuk membantu golongan memerlukan.
“Sumbangan paling kecil yang kami terima ialah 50 sen, namun ia sangat bermakna kepada kami.
“Bagi saya, bukan besar atau kecil jumlahnya. Setiap sen membawa makna kerana semuanya datang daripada hati,” katanya menerusi hantaran di Instagram, hari ini.
Syed Saddiq berkata, sepanjang perjalanan hari kedua dari Labu melalui Seremban dan Pedas sebelum berakhir di Kota, orang ramai termasuk warga emas sanggup menunggu di tepi jalan untuk menghulurkan sumbangan tunai.
Katanya, sokongan tersebut bukan sahaja menyentuh perasaannya, malah membuktikan usaha kebajikan itu mendapat dukungan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, tabung kutipan dana sempena Larian Kesyukuran Muar berjaya mengumpul RM361,848 dalam tempoh hanya dua hari.
Jumlah tersebut melepasi sasaran asal RM200,000 yang ditetapkan bagi tempoh empat hari, sekali gus mencatat lebihan sebanyak RM161,848.
“Sejujurnya, saya sendiri masih terkejut melihat angka RM361,848 ini. Sasaran asal kita ialah RM200,000 dalam tempoh empat hari.
“Namun, dalam masa dua hari sahaja, kita bukan sahaja sudah mencapai sasaran itu, malah berjaya melebihinya,” katanya.
Berdasarkan kemas kini di laman rasmi kempen, jumlah kutipan setakat pukul 1.20 pagi hari ini mencapai 181 peratus daripada sasaran asal.
Menurut Syed Saddiq, kutipan tersebut membolehkan bantuan diperluaskan pagi untuk warga Muar yang memerlukan.
“Lebih banyak keluarga akan menerima bantuan dan lebih ramai pelajar akan mendapat akses kepada peranti pembelajaran.
“Terima kasih Malaysia. Ini bukan lagi perjalanan saya seorang, ini perjalanan kita bersama,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq melaksanakan Larian Kesyukuran Muar sebagai tanda kesyukuran selepas beliau dibebaskan daripada sabitan dan hukuman yang dihadapinya pada Isnin lalu.
Misi larian amal sejauh hampir 200 kilometer itu bermula di Istana Kehakiman, Putrajaya dan dijadualkan berakhir di Laman Maharani, Muar esok selepas melalui beberapa lokasi di Negeri Sembilan dan Johor sepanjang empat hari perjalanan. – KOSMO! ONLINE














