TEMERLOH – Perjalanan hidup seorang graduan muzik bertukar 360 darjah apabila dia nekad meninggalkan minatnya sejak kecil demi menyambung legasi keluarga mengusahakan kilang arang di Mentakab, di sini.
Malah, gadis manis itu, Emily Lim Lay Yee, 28, sanggup bergelumang bergelumang dengan habuk kayu dan arang yang diberi jolokan sebagai ‘emas hitam’.
Keberaniannya menukar haluan kerjaya membuahkan hasil apabila produk arang mampat keluaran kilangnya kini bukan sahaja dipasarkan di seluruh negara, malah berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk Arab Saudi, Australia dan Jepun.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Muzik itu berkata, keputusan menceburi industri berkenaan dibuat ketika berusia 24 tahun selepas melihat potensi besar perniagaan yang diasaskan bapanya sejak 1998.
“Saya sebelum ini pernah membuka kelas muzik dan mengajar piano sebelum mengambil keputusan menutup kelas berkenaan tahun lalu bagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pengurusan kilang yang diambil alih sejak 2023.
“Saya belajar muzik sejak kecil sehingga berusia 24 tahun. Muzik memang minat saya tetapi saya mahukan cabaran baharu selepas lihat industri arang ada potensi besar untuk berkembang.
“Pada mulanya saya langsung tidak tahu mengenai proses pembuatan arang, pengurusan pekerja mahupun selok-belok perniagaan. Saya belajar dari bawah, bermula dengan proses hasilkan arang sebelum beralih kepada pengurusan operasi kilang dan pemasaran,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Ujarnya, kilang itu menggunakan habuk kayu dan sisa buangan industri perkayuan sebagai bahan mentah utama untuk menghasilkan arang mampat.
“Penggunaan bahan buangan itu bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran, malah lebih mesra alam berbanding penggunaan kayu bakau untuk menghasilkan arang.
“Kami mendapatkan sisa habuk kayu dari kilang-kilang kayu sebelum memprosesnya menjadi arang. Secara tidak langsung, bahan buangan itu dapat dimanfaatkan semula dan tidak dibazirkan serta bahan buangan menjadi produk lebih lestari,” katanya.
Ujarnya, selepas kira-kira tiga tahun menguruskan kilang itu, produk arang mampat keluarannya kini dipasarkan di seluruh negara selain dieksport ke Arab Saudi, Australia dan Jepun.
Ujarnya, kilang itu menggaji lapan pekerja asing dan menghasilkan produk dalam pelbagai saiz pembungkusan antara dua hingga 20 kilogram.
“Selain mengeluarkan produk jenama sendiri, syarikat kami turut tawarkan perkhidmatan Pengilang Peralatan Asal (OEM) kepada pelanggan yang mahu memasarkan produk menggunakan jenama masing-masing.
“Arang sering digelar ‘emas hitam’ kerana permintaannya yang tinggi. Saya harap kilang ini akan terus berkembang dan produk tempatan keluaran kami mampu menembusi lebih banyak pasaran antarabangsa,” tambahnya.














