fbpx
Tempat kejadian kemalangan di Jalan Dewan Bahasa di sini.

Pemuda didakwa pandu melulu sebabkan kematian penunggang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang penghantar makanan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal lain di Jalan Dewan Bahasa di sini semalam.

Bagaimanapun tertuduh Muhammad Ridzuan Armis, 21, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aliaa Anwar.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Ridzuan Armis didakwa menunggang motosikal Yamaha secara melulu sehingga menyebabkan kematian Muhammad Nazri Shahadan, 47.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Dewan Bahasa dari arah Jalan Hang Tuah menghala ke Jalan Istana di sini pukul 2.30 pagi semalam (16 Julai).

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.

Berikutan pengakuan tidak bersalah tertuduh, Pegawai Pendakwa Inspektor Shazwan Hasifi Shahrun mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Ammanjeet Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya masih muda selain ini adalah kesalahan pertama.

“Tertuduh telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Aliaa kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan lesen digantung sehingga perbicaraan selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

Terdahulu media melaporkan, seorang penunggang motosikal maut apabila bertembung dengan seorang penunggang motosikal lain yang melawan arus bagi mengelak sekatan jalan raya (SJR).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa, berkata kejadian berlaku di Jalan Dewan Bahasa pukul 2.30 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati seorang lelaki berumur 21 tahun yang menunggang motosikal Yamaha dipercayai telah bertindak berpatah balik dan menunggang secara melawan arus selepas menyedari SJR oleh pihak polis.

“Tindakan itu menyebabkan motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain jenis SYM yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 47 tahun pada jarak 50 meter dari lokasi SJR.

Akibat perlanggaran itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata ujian alkohol dan ujian saringan awal air kencing terhadap penunggang motosikal Yamaha didapati negatif dan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN