fbpx
Hishamuddin bersama ahli keluarga mangsa scammer yang hadir ke pejabat MHO, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

MHO mohon bantuan Wisma Putra, Kedutaan Taiwan bantu rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon bantuan Wisma Putra dan Kedutaan Taiwan bagi membantu rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi sindiket di negara itu.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya akan membawa keluarga mangsa ke Kedutaan Taiwan bagi memohon bantuan selain merujuk perkara itu kepada pihak kedutaan supaya melihat kes berkenaan dari sudut yang lain.

“Kita akan minta kepada pihak Kedutaan untuk membantu dan juga Wisma Putra. Kita juga akan merujuk perkara ini kepada Kedutaan Taiwan supaya melihat perkara ini dari sudut yang lain.

“Kita menghormati kedaulatan undang-undang Taiwan. Itu tidak ada pertikaian. Isunya ialah bagaimana trend menunjukkan rakyat Malaysia dieksploitasi.

“Adakah benar-benar mereka mempunyai niat melakukan jenayah? Jika dia pergi dengan tujuan bekerja sambilan dan rekod dia bukan seorang scammer, perkara ini perlu diberi perhatian,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, dalang sindiket masih bebas manakala individu yang dipergunakan berdepan pendakwaan.

“Mastermind tak kena apa-apa. Yang kena hanyalah orang-orang bawah ini, anak-anak orang miskin, orang susah. Mereka inilah yang terpaksa berdepan pendakwaan,” katanya.

Sementara itu, Hishamuddin mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati menerima tawaran pekerjaan di luar negara, termasuk kerja sambilan.

Katanya, terdapat kes yang menggunakan modus operandi menawarkan pekerjaan sebagai pengawal pengiring (bodyguard) sebelum individu terbabit dipergunakan untuk melakukan kegiatan jenayah.

“Sebelum ini kita bercakap mengenai Kemboja, Laos dan Myanmar. Hari ini kita mungkin akan meletakkan satu ‘red flag’ bahawa Taiwan juga adalah tempat yang berisiko untuk rakyat Malaysia dieksploitasi oleh sindiket yang terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia ataupun scam dalam talian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN