JIKA menelusuri perjalanannya dalam industri hiburan tidaklah semuanya indah belaka. Dia pernah juga terpalit gosip liar tetapi semuanya terbalas dengan hasil kerjanya terutama dalam bidang nyanyian yang berjaya ‘mendunia’ sehingga memenangi pelbagai anugerah. Itulah Daiyan Trisha, satu nama yang sedang mekar dengan banyak cerita.
Tahun lalu, boleh dikatakan antara zaman kemuncaknya apabila berjaya merangkul trofi Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 dan memenangi kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-24 menerusi karya, My Home Is In Your Arms.
Layak untuk bermegah dengan kejayaan tersebut tetapi pemilik nama penuh Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin itu bertegas, dia enggan dihanyut dengan kegembiraan dan kemenangan diraih meski sudah lama mendambakannya.
“Alhamdulillah. Kalau diingat semula perjalanan seni, tidak mudah sebab semuanya bermula dengan ‘zero’ (kosong).
“Mungkin ada orang cakap nama saya nama sedang naik dan popular, tapi saya tidak pernah berasakan begitu kerana masih lagi rasa terlalu kecil dalam industri.
“Saya tak mahu hanyut dengan segala pujian atau populariti sebab semua itu nikmat sementara. Bukan tak meraikan kejayaan cuma kalau boleh secara sederhana, bukan berlebih-lebihan,” katanya kepada HibGlam.
Mengenalinya sejak awal kemunculan, sisi matang bintang filem Buskers itu semakin jelas terlihat tatkala berkongsi pendekatannya berdepan dengan khalayak dan dunia media sosial yang sarat dengan kecaman.
“Sebab segala pujian yang itu boleh bertukar menjadi kata cacian dan dimaki hamun dalam sekelip mata. Adakalanya kita sendiri tidak tahu punca semua itu berlaku.
“Jadi, bila orang cakap populariti sedang mencanak, saya hanya dengar dan terima dengan gembira cuma tolak semua rasa tinggi diri atau terlalu bangga. Semua elemen negatif itu tiada dalam kamus hidup,” kongsinya.

Dia bahkan memegang pesanan orang-orang tua yang sering memberitahu jangan terlalu suka kerana risau menangis kemudian hari.
“Saya selalu muhasabah diri terutama bila hasil kerja kita sedang mendunia dan disukai ramai. Mungkin ada hikmah atau perkara yang mengejutkan lain akan muncul selepas itu.
“Jadi saya memang pegang pada nasihat, jangan rasa suka atau gembira sangat sebab kebencian boleh hadir dalam tempoh sesaat,” jelas pemilik kafe Butterfly Florist & Slowbar itu.
Katanya lagi, segala magis dan keindahan yang dirasai boleh hilang dalam sekelip mata jika tidak terlalu beringat.
Bukanlah terlalu membumi, namun Daiyan menekankan konsep sentiasa beringat meski direzekikan dengan pelbagai perkara dalam hidup ketika ini.
“Mungkin kita rasa tahun ini okey tetapi tahun depan sebaliknya pula berlaku, nama mungkin berada di bawah.
“Itu semua lumrah yang perlu dihadapi oleh anak seni, cuma saya sentiasa bersyukur dengan semua diraih sepanjang bergelar selebriti. Rezeki Tuhan tetapi sentiasa beringat.
“Paling penting, rezeki saya miliki hari ini memberi lebih motivasi untuk hasilkan karya lebih baik kepada peminat,” tuturnya panjang lebar.
Viral, relevan
Melihat landskap dunia seni ketika ini yang dilambakkan dengan kontroversi ciptaan sendiri untuk menagis populariti segera, dia menolak semua itu.
Tegasnya, cara tersebut tidak pernah berada dalam kamus kerjaya seninya setakat ini.
“Menjadi anak seni sehingga hari ini adalah satu rezeki besar yang Tuhan beri dan saya tak akan musnahkannya hanya dengan mencipta cerita sensasi murahan semata-mata nak popular. Itu bukan saya.
“Saya tidak pernah terfikir nak lakukan sesuatu untuk viral, semata-mata untuk dikenali dan menjadi sebutan ramai.
“Itu tak tersenarai dalam strategi saya langsung. Memang penting untuk kekal relevan tetapi nak buat perkara pelik-pelik dengan mencipta kontroversi, saya tolak tepi.
“Kalau rasa seperti nama terlalu sepi dari radar berita, saya akan bincang dengan pengurusan, sama ada terima tawaran lakonan dan masuk ke set penggambaran atau lancarkan lagu,” ujar anak ketiga daripada lima beradik itu.
Akuinya yang popular menerusi drama Projek: Anchor SPM, dia tidak terlepas daripada diserang kegelisahan melampau atau anxiety sekiranya nama terpalit dengan sebarang kontroversi.
“Hakikatnya, kita tak perlu pun nak wujudkan kontroversi sebab semua itu akan tercipta dengan sendirinya atau tanpa sengaja.
“Memang orang kata, publisiti negatif boleh jadi baik tetapi saya tetap tidak mahukannya. Nak kendali dan hadap semua itu akan beri saya anxiety.
“Buat masa sekarang, saya hanya yakin dengan karya dan setiap hasil kolaborasi. Produk yang bagus pasti akan beri hasil luar biasa tanpa perlu kejar pun cerita sensasi,” ujarnya.

Anom Suraya
Dalam pada itu, dia sempat berkongsi projek terbaharunya iaitu Anom Suraya yang kini rancak ditayangkan menerusi slot Lestary TV3.
Lebih membanggakan, naskhah tersebut diadaptasi daripada novel nukilan ibunya sendiri, Dr. Samsiah Mohd. Nor.
“Sebenarnya saya memang sudah lama nak berlakon dalam drama adaptasi novel tetapi masih belum berkesempatan.
“Tiba-tiba tawaran ini hadir, novel ibu sendiri pula, memang terima watak Anom Suraya ini dengan besar hati, bagai kismet (takdir).
“Siapa tahu takdir Tuhan, ibu penulis novel kemudian anak sendiri pula berlakon drama adaptasi naskhah hebat ini,” ujarnya.
Ulas Daiyan lagi, memegang watak Anom juga memberi ‘jalan pintas’ kerana boleh bertanya secara terperinci mengenai karakter tersebut terus kepada ibunya.
“Saya seperti dapat jalan pintas, bila pulang ke rumah, dia akan cerita macam-macam tentang Anom. Itu satu input yang sangat berguna untuk saya.
“Semua itu mengajar saya untuk membentuk karakter ini mengikut acuan yang ditulis dalam novel, wanita asal kampung, sangat sopan santun dan sentiasa memakai baju kurung.
“Seronok dapat jadi Anom, satu keluarga meraikannya. Ketika episod pertama tayang tempoh hari, semua orang berkumpul untuk menontonnya,” katanya yang juga penyanyi lagu tema drama tersebut berjudul Jangan Lupa Jaga Dirimu.















