LANGKAWI – Pihak polis sedang menyiasat dakwaan sebuah tadika yang dipercayai melakukan pengabaian pada kanak-kanak yang beroperasi di sini selepas tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata,
laporan tersebut dipercayai dibuat oleh seorang guru yang telah diberhentikan pada Rabu lalu.
“Antara tuduhan yang dinyatakan adalah kanak-kanak dibiarkan tidur di atas lantai tanpa tilam dan ada beberapa daripada mereka pernah dikunci di dalam tandas.
“Setakat ini, siasatan kita mendapati tiada ibu bapa yang mendapati anaknya mengalami kecederaan,” katanya di sini, hari ini.
Jelasnya, siasatan menjurus kepada kesahihan laporan polis tersebut dan berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan juga saksi-saksi yang ada.
“Pihak polis masih menyiasat kesahihan laporan ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE














