JOHOR BAHRU – Seorang gadis etnik Rohingya akan didakwa hari ini atas tuduhan membunuh bayi yang baru dilahirkan dengan cara memasukkannya ke dalam beg plastik dan mencampak dari tingkap hotel di Bukit Indah, di sini awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, perkara itu terbongkar selepas pihaknya menerima laporan mengenai penemuan janin dalam bungkusan plastik di sebuah lorong berhampiran Taman Nusa Idaman pada pukul 2.39 pagi, 5 Julai lalu.
Menurut beliau, siasatan pantas membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di lokasi tersebut kira-kira pukul 4 pagi hari sama.
“Polis turut menahan seorang remaja etnik Rohingya berusia 19 tahun di sebuah hotel di Bukit Indah bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod kes jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumarasan berkata, siasatan mendapati janin itu dilahirkan hasil hubungan dengan bekas teman lelakinya. Suspek dipercayai melahirkan bayi itu seorang diri di dalam tandas hotel sebelum memasukkan mayat ke dalam beg plastik berwarna hitam.
“Suspek kemudian membuang beg plastik itu melalui tingkap bilik hotel di tingkat dua sebelum ditemui orang awam,” katanya.
Beliau berkata, suspek lelaki sebelum ini direman selama empat hari sehingga 8 Julai dan akan dijadikan saksi pendakwaan.
Suspek wanita pula direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 sehingga 18 Julai bagi membantu siasatan.
Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebelum wanita terbabit diarah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali,”katanya.-KOSMO! ONLINE














