KUALA TERENGGANU – Gara-gara ‘mabuk cinta’, seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjadi mangsa penipuan ‘love scam’ sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM56,375.
Kejadian itu terbongkar selepas pemuda berusia 22 tahun tersebut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 3.58 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa berkenalan dengan seorang wanita tidak dikenali menerusi aplikasi Telegram pada pukul 12 tengah hari, 11 Mei lalu.
“Sepanjang perkenalan, mangsa tidak pernah bertemu dengan suspek malah tiada nombor telefon kerana mereka berhubung melalui mesej Telegram yang hanya mempunyai nama,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, suspek memakluman kepada mangsa bahawa dia bekerja di sebuah syarikat pemasaran online di Kuala Lumpur.
Suspek kemudiannya memberitahu dia mahu meminjam wang daripada mangsa kononnya untuk membayar syarikat majikannya.
“Suspek didakwa menawarkan untuk menunjukkan anggota sulitnya dan menjalin hubungan intim dengan mangsa sekiranya permintaan tersebut ditunaikan.
“Mangsa yang tidak berfikir panjang kemudian melakukan sebanyak 45 kali transaksi pindahan wang sejak 11 Mei hingga 4 Julai lalu yang berjumlah RM56,375,” katanya. – KOSMO! ONLINE














