SABAK BERNAM – Seorang pemandu maut, manakala isterinya yang hamil tujuh bulan terselamat dalam kemalangan melibatkan dua buah treler di Jalan Tebuk Marso, Kampung Tebuk Marso, di sini awal pagi tadi.
Mangsa yang maut berusia 21 tahun akibat kecederaan parah selepas tersepit di bahagian pemandu manakala isterinya cedera ringan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan melibatkan treler membawa kontena dan sebuah lagi treler yang membawa muatan besi seberat 36 tan.
Menurutnya, seramai enam anggota bersama seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba di lokasi didapati pemandu treler muatan kontena berusia 21 tahun itu tersepit di bahagian pemandu.
“Isterinya yang hamil tujuh bulan yang mengalami kecederaan ringan dikeluarkan orang awam manakala pemandu treler muatan besi itu terselamat,” katanya hari ini.
Beliau berkata, operasi mengeluarkan mangsa tersepit mengambil masa lebih sejam pada pukul 4.15 pagi sebelum lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Jelasnya, isteri mangsa tersebut telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE














