MELAKA – Pakatan Harapan (PH) Melaka mengesahkan keluar daripada Kerajaan Negeri, selain mengarahkan semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) mewakili gabungan itu melepaskan jawatan berkuat kuasa 31 Julai ini.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat kepimpinan PH Melaka bersama lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) gabungan berkenaan yang diadakan semalam.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan turut mengesahkan keputusan lima ADUN PH menarik diri daripada Kerajaan Negeri selepas memuktamadkan pendirian menolak pindaan Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka yang memperuntukkan pelantikan ADUN lantikan.
“Mesyuarat turut memutuskan Ahli-ahli Majlis dan JPKK daripada PH menarik diri daripada jawatan masing-masing berkuat kuasa pada 31 Julai 2026.
“Tempoh tersebut diberikan bagi memastikan proses peralihan pentadbiran berjalan lancar dan tidak menjejaskan urusan kerajaan negeri, selain keputusan dibuat berlandaskan prinsip demokrasi diamalkan PH,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Katanya, seseorang Pengerusi Jawatankuasa Negeri atau ADUN yang tidak lagi menyokong usul kerajaan di Dewan Undangan Negeri tidak seharusnya terus menikmati keistimewaan dan kemudahan sebagai sebahagian daripada pentadbiran kerajaan.
Dalam pada itu, Adly berkata, PH Melaka merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, barisan Pengerusi Jawatankuasa Negeri serta seluruh penjawat awam negeri atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gabungan itu berada dalam pentadbiran.
“Walaupun kini berada di blok pembangkang, PH Melaka akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang konstruktif serta memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat terus diperjuangkan.
“Semua ADUN PH juga akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik,” katanya.
Kosmo! 14 Julai lalu melaporkan PH kini menjadi pembangkang dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka selepas DAP Melaka mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, keputusan itu dibuat sebagai bantahan terhadap kelulusan pindaan Perlembagaan Negeri yang membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN lantikan. – KOSMO! ONLINE














