GUA MUSANG – Laluan FT185, Jalan Simpang Pulai – Gua Musang kini lebih selamat selepas Kementerian Kerja Raya menyiapkan perangkap aliran puing atau empangan sabo dan sistem saliran bernilai RM10.4 juta.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek itu dilaksanakan sebagai penyelesaian jangka panjang susulan kejadian aliran puing pada 3 Januari 2021 yang menyebabkan kerosakan teruk sepanjang kira-kira dua kilometer jalan berkenaan sehingga terpaksa ditutup selama beberapa hari.
Katanya, walaupun kerja pembaikan awal struktur jalan dan jambatan bernilai kira-kira RM6 juta telah dilaksanakan oleh syarikat konsesi, kerajaan mengambil langkah lebih menyeluruh melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang.
“Projek itu melibatkan kerja pembaikan cerun, pembinaan sistem saliran, kerja turapan, pengalihan utiliti, pembinaan Sabo Dam dan Debris Flow Barrier sebagai komponen utama mitigasi aliran puing.
“Empangan sabo berfungsi mengawal aliran air, memerangkap puing dan sedimen selain mengurangkan risiko limpahan yang boleh mengancam keselamatan jalan raya,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Cerun di Laluan FT185 Seksyen 61.00, Jalan Lojing-Gua Musang, di Tanah Tinggi Lojing, di sini hari ini.
Alexander memberitahu, pembinaan struktur itu menjadikan FT185 sebagai lokasi keempat empangan sabo dibangunkan oleh JKR di Semenanjung Malaysia selepas Raub, Pahang, Seremban, Negeri Sembilan dan Baling, Kedah.
Katanya, projek berkenaan turut melibatkan pengambilan balik tanah seluas 1.7 ekar bagi membolehkan keseluruhan sistem mitigasi dibina secara lebih berkesan. – KOSMO! ONLINE














