fbpx
Armizan (enam dari kanan) di Majlis Perasmian Media KLFW, di ibu negara hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

KPDN-KLFW perkasa produk tempatan ke pasaran global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalinkan kerjasama strategik dengan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 bagi memperkasa promosi produk dan jenama tempatan ke pasaran antarabangsa.

Kerjasama itu merupakan sebahagian daripada strategi baharu di bawah gerakan Jom Beli Produk Malaysia (Jom Malaysia) yang dilancarkan pada 27 Jun lalu sebagai transformasi kepada Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang diperkenalkan sejak 1984.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, transformasi tersebut merupakan satu anjakan untuk menjadikan Jom Malaysia sebagai agenda nasional dalam memperkukuh ekonomi negara melalui sokongan terhadap produk tempatan.

Menurut beliau, kempen yang telah diperkenalkan lebih 40 tahun lalu itu perlu diperkasa dengan pendekatan baharu agar memberi impak lebih bermakna kepada rakyat dan industri tempatan.

“Ini masanya untuk memperkukuh usaha ini dengan lebih jelas demi menghasilkan impak yang bermakna serta bernilai.

“Perubahan ini bukan hanya tentang memperkenalkan nama baharu, mengubah logo atau kempen yang ada. Ia merupakan perubahan asas ke arah membangunkan sesuatu yang lebih bernilai dan berpengaruh,” katanya pada Majlis Media Rasmi KLFW 2026 di Emerald Room, Hotel Mandarin Oriental, hari ini.

Beliau berkata, Jom Malaysia perlu dilihat sebagai satu gerakan nasional yang disokong oleh semua pihak, selain mengangkat produk tempatan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.

“Setiap kali kita membeli produk negara, kita melakukan lebih daripada sekadar membeli sesuatu produk. Kita menyokong perniagaan tempatan, mempertahankan pekerjaan, memperkukuh ekonomi rakyat dan membangunkan komuniti kreatif kita,” jelasnya.

Armizan berkata, kolaborasi dengan KLFW tahun ini menepati empat teras utama Jom Malaysia, iaitu menjadikannya sebagai gerakan nasional, menggerakkan pendekatan ‘whole-of-nation’, memperluaskan skop kepada produk dan perkhidmatan tempatan serta membuka akses produk Malaysia ke peringkat global. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN