MELAKA – Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan dimasukkan ke Hospital Melaka selepas mengalami benjol di dahi dan lebam pada bahagian belakang badan ketika berada di bawah jagaan pengasuh di Taman Bukit Tambun Perdana, Durian Tunggal, di sini semalam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.32 pagi semalam dan polis menahan sepasang suami isteri yang merupakan pengasuh bayi berkenaan bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati pengasuh pada mulanya memaklumkan kecederaan itu berlaku selepas mangsa terhantuk pada lantai dan tersangkut di bawah katil ketika merangkak.
“Bagaimanapun, punca sebenar yang menyebabkan kecederaan tersebut masih belum dapat dipastikan dan masih dalam penelitian pegawai perubatan di Wad Pediatrik Hospital Melaka,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurutnya, kira-kira pukul 11.30 malam semalam, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah Melaka menahan pasangan suami isteri berusia antara 34 hingga 41 tahun bagi membantu siasatan.
“Mahkamah membenarkan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 22 Julai bagi melengkapkan siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














