fbpx
Kak Zimah yang terkenal dengan nasi kerabu pucuk pitam asalnya merupakan seorang jurutera yang terpaksa mengorbankan kerjaya impiannya setelah anaknya menghidap asma kronik.

Transisi Nor Azimah, ‘jurutera’ nasi kerabu asli Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA percaya, rezeki itu jika kita berkorban untuk anak-anak dan suami pasti Allah akan beri lebih.”

Itu prinsip yang dipegang wanita kelahiran Tumpat, Kelantan ini sebelum nekad meninggalkan kerjaya hebatnya sebagai jurutera minyak dan gas sekitar empat tahun lalu.

Demi menjaga anak yang kurang sihat, Nor Azimah Mohamad, 43, sanggup melepaskan kerjaya idamannya yang sempat dibina lebih 15 tahun itu.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata ini, keputusannya meninggalkan pekerjaan bergaji lumayan itu bukan sahaja mengubah seluruh kehidupannya, malah membuka lembaran baharu buatnya.

Dia kini merupakan usahawan dan pemilik jenama Kak Zimah’s Kitchen yang terkenal dengan nasi kerabu pucuk pitey (pitam) beroperasi di kampung halamannya di Tumpat sejak Februari 2023.

Lebih membanggakan, tahun lalu dia dipilih Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) sebagai pengusaha nasi kerabu untuk dipatenkan produknya sebagai makanan asli Kelantan dan Malaysia.

Berkongsi kepada K-Wanita baru-baru ini, Kak Zimah yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengakui bukan mudah meninggalkan kerjaya yang menjadi impian ramai.

Namun sebagai seorang ibu, dia percaya ada ketika kerjaya perlu diketepi dan dikorbankan apabila keluarga lebih memerlukan keberadaannya.

“Saya ambil keputusan balik ke kampung pada Julai 2022 dari Kerteh, Terengganu dan sebelum itu di Pengerang, Johor lepas anak perlukan perhatian dan kerap kali ditahan wad disebabkan asma kronik.

“Meski sedar terpaksa melepaskan kerjaya yang stabil, tetapi jauh di sudut hati saya percaya setiap pengorbanan dilakukan pasti ada hikmahnya,” katanya tenang.

Kak Zimah di hadapan premisnya Kak Zimah’s Kitchen.

Ternyata keputusan itu menjadi titik perubahan terbesar dalam hidupnya kini.

Bermula dengan menghasilkan nasi kerabu menggunakan resipi tradisi keluarga, dia menubuhkan Kak Zimah’s Kitchen pada Februari 2023.

Rezeki dan takdir Ilahi, hari ini nasi kerabu hasil idea dan air tangannya itu bukan saja tular di media sosial, malah bisnesnya berkembang maju hingga miliki premis sendiri dan dikunjungi ribuan pelanggan dari seluruh pelusuk negeri dan negara.

DITANYA kenapa memilih perniagaan nasi kerabu pucuk pitam, Kak Zimah memberitahu dia dan suami ingin mengembalikan semula nasi kerabu asli orang lama-lama yang menggunakan pucuk pitam, pucuk samok (pucuk samak) dan ulam tradisional.

“Saya sendiri memang gemarkan atau ‘hantu’ nasi kerabu. Setiap kali nak makan nasi kerabu, di mana-mana sahaja kedai makan, saya akan marah dengan diri sendiri kerana begitu sukar dapatkan yang betul-betul asli.

“Kebiasaan yang kita jumpa sekarang pengusaha gunakan ulam seperti kubis putih dan ungu kerana ia murah serta mudah didapati.

“Dek kerana saya pun ada bakat memasak, saya beritahu suami dan kami bincang dan nekad untuk perkenalkan nasi kerabu pucuk pitam meskipun tumbuhan tersebut bukan mudah dicari.

“Tujuan utamanya, kami mahu mengangkat semula warisan tradisi nasi kerabu tradisional Kelantan yang kian pupus melalui penggunaan ulam asli seperti pucuk pitam dan pucuk samok,” katanya.

Kak Zimah kini mudah mendapatkan bekalan ramuan nasi kerabu terutama pucuk pitam apabila menanamnya di rumah di Tumpat, Kelantan.

Berkongsi cabaran dalam perniagaan yang dianggap ‘dunia’ baharu baginya, anak kelima daripada 10 beradik itu memberitahu, pertama sekali ialah bekalan berterusan pucuk pitam yang sebelum ini hanya ditemui di hutan.

Akuinya, kedua-dua pucuk pitam dan pucuk samok sukar didapati dengan pucuk samok terpaksa ‘diimport’ masuk dari negeri Pahang kerana tiada di Kelantan.

“Saya dan suami kini bahkan turut menanam sendiri pucuk pitam bagi memastikan bekalan sentiasa ada kerana tumbuhan itu semakin sukar ditemui sekarang ini.

“Keaslian dan rasa nasi kerabu tidak boleh dikompromi walaupun permintaan pelanggan semakin meningkat saban hari.

“Saya percaya, resipi tradisi meskipun menghadapi kesukaran dari segi bekalan berterusan mempunyai nilainya yang tersendiri dan perlu dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Cabaran keduanya, wanita yang cintakan dekorasi dan pernah bercita-cita menjadi penyampai berita televisyen turut pernah ditikam belakang oleh stafnya sendiri.

Kongsi Kak Zimah mengenai insiden itu, selepas setahun berniaga dan tular dikunjungi ramai orang, kewangan syarikatnya menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena.

“Saya dan suami berniaga setiap hari bagai nak pengsan tetapi langsung tiada keuntungan. Upah pekerja dan kos modal semuanya dapat dibayar tetapi untung entah ke mana.

“Bila saya buat dan semak inventori hasil daripada pengalaman kerja di lapangan, saya dapat ‘hidu’ ada sesuatu yang tidak kena dan itu berpunca daripada salah seorang pekerja yang mencuri wang hasil perniagaan.

“Akhirnya saya dapat tangkap pencuri tersebut dah berhentikannya terus. Sejak itu barulah kewangan syarikat kembali normal dan tidak lagi berlaku ketirisan.

“Sejak itu juga, saya belajar dan tetapkan standard prosedur operasi premis sendiri termasuk ketika melantik pekerja baharu,” tuturnya yang juga bakal mengeluarkan produk sejuk beku berkaitan nasi kerabu tidak lama lagi.

Jelas Kak Zimah, pengalaman sebagai jurutera sebenarnya bagai tidak pernah ditinggalkannya meskipun sudah beralih bidang.

KAK ZIMAH bersama suami dan empat cahaya matanya yang menjadi pendorong serta penguat semangat buatnya untuk terus maju dalam kehidupan.

Sebaliknya, ilmu yang dipelajari sepanjang sedekad setengah dalam industri minyak dan gas digunakan untuk mengurus operasi perniagaan secara lebih sistematik, bermula daripada penyediaan proses kerja, kawalan kualiti hinggalah pengurusan harian.

Dia percaya kejayaan sesebuah perniagaan bukan hanya bergantung kepada keenakan makanan, tetapi juga disiplin, konsistensi dan pengurusan yang baik.

Baginya, dalam dunia keusahawanan makanan yang sangat kompetitif dan penuh cabaran, setiap hari merupakan proses pembelajaran baharu.

Walaupun laluan yang dipilih hari ini jauh berbeza daripada bidang pengajiannya, dia tidak pernah menganggap ilmu kejuruteraan itu sia-sia.

Premis Kak Zimah’s Kitchen yang terletak di Kampung Telaga Bata, Tumpat sentiasa dikunjungi orang ramai.

Sebaliknya, pengalaman tersebut menjadi bekalan penting dalam membina sebuah jenama yang semakin dikenali dan disebut-sebut ramai hingga ke saat ini.

Lebih mengharukan, keputusan yang suatu ketika dahulu dipersoalkan serta dicemuh kini bertukar menjadi sumber inspirasi kepada ramai wanita yang berdepan dilema antara kerjaya dan keluarga.

“Pesan saya kepada mereka yang senasib dan menghadapi dilema, jangan takut untuk buat keputusan tetapi pastikan ada persediaan rapi dari segi mental serta kewangan.

“Jika terpaksa berhenti kerja demi anak-anak dan keluarga, nekad dan buat sahaja. Pasti ada hikmah terbaik yang Allah telah susun,” katanya menutup kisah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN