KLUANG – “Kami reda dan menerima pemergian anak sebagai ketentuan Allah SWT.”
Demikian luahan bapa kepada murid Tahun Satu, Muhammad Umar Mohd. Faaiz, 7, yang maut dalam nahas membabitkan bas sekolah di Jalan Kampung Sembrong, di sini petang semalam.
Bapanya, Mohd. Faaiz Muran, 35, berkata, walaupun terlalu berat menerima kehilangan anak sulungnya itu, dia dan isterinya, Nurul Shahira Salim, 35, reda serta menganggap ujian tersebut sebagai takdir yang telah ditentukan Allah.
Menurutnya, sejak kira-kira seminggu lalu, arwah menunjukkan perubahan sikap apabila menjadi lebih manja dan sering meminta didukung walaupun usianya sudah mencecah tujuh tahun.
Katanya, Muhammad Umar turut meminta dibelikan durian serta beberapa jenis buah-buahan lain, selain berjanji akan belajar dengan lebih bersungguh-sungguh sekiranya dihadiahkan sebuah basikal.
“Alhamdulillah, saya sempat tunaikan semua permintaannya. Namun saya tidak sangka semua itu sebenarnya menjadi petanda arwah akan meninggalkan kami buat selama-lamanya.
“Ibunya juga sangat terkilan kerana sejak kebelakangan ini dia terpaksa memberikan lebih perhatian kepada adik kembar Muhammad Umar,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lalang, di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE.














