SABAN tahun, industri seni tempatan pasti diwarnai dengan kehadiran wajah-wajah baharu, sama ada di kaca televisyen mahupun di layar perak.
Kehadiran pendatang baharu bukan sahaja memeriahkan industri, malah mereka jugalah yang bakal menjadi pelapis pelakon utama pada masa hadapan.
Salah seorangnya adalah Syazlie Syazz yang kini mengorak langkah berani apabila diberi kepercayaan untuk menerajui filem The Keris sebagai watak utama.
Syazlie berkongsi kepada HibGlam pengalamannya memegang watak utama buat julung kalinya dalam filem yang mencetuskan polemik dalam kalangan audiens itu.
HIBGLAM: Boleh ceritakan latar belakang Syazlie sepanjang 10 tahun berada dalam industri?
SYAZLIE: Sebenarnya saya dalam industri hampir (sudah) 10 tahun. Tapi memang banyak buat kerja-kerja ‘stuntman’. Maksudnya bukan dari segi berlawan saja, buat pyro (letupan), rigging dan macam-macam lagi. The Keris merupakan peluang pertama saya diberi kepercayaan untuk menerajui filem.
Apakah cabaran terbesar sepanjang menjalani penggambaran filem terbabit?
Yang susahnya dalam filem ini adalah berlakon sebab saya tak ada pengalaman sangat. Saya lebih kepada aksi sahaja. Di situ agak kekok, susah nak berdialog tapi bila ada orang sokong (produksi), saya buatlah. Bagi saya nak jadi seorang pelakon memang agak susah.
Kebiasaannya, filem tempatan mempertaruhkan pelakon gred A untuk menarik penonton. Apa komen anda apabila The Keris kurang mendapat sambutan?
Peluang ini memang berat bagi saya tapi saya diberi kepercayaan, jadi saya lakukan dan ini pun rezeki daripada Allah. Laku atau tak, sokong atau tidak, saya cuma berserah kepada Allah.
Saya dah usaha, cerita pun dah siap (dan ditayangkan). Semua itu ketentuan Allah. Memang betul saya bukanlah seorang pelakon ‘top’ (terkenal).
Apabila sudah berani melangkah ke layar perak, adakah anda sudah bersedia untuk berdepan dengan kecaman penonton?
Kritikan ataupun mulut manusia kita tak boleh nak buat apa. Masing-masing ada hak untuk mengkritik.
Bagi saya dari sudut positif, kritikan sebenarnya bukanlah untuk menjatuhkan seseorang pun, tapi membantu untuk berubah. Kritikan itu normal, kadang-kadang saya tengok video orang lain pun saya rasa nak kritik. Dalam dunia ini tiada yang sempurna.














