SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membangunkan kepolisan pintar menerusi penggunaan pendigitalan, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) bagi mengekang evolusi jenayah yang semakin kompleks.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, landskap keselamatan negara kini berdepan pelbagai ancaman baharu termasuk jenayah siber, penipuan dalam talian, manipulasi AI, teknologi deepfake serta jenayah rentas sempadan.
“Justeru, PDRM perlu bergerak lebih pantas daripada evolusi jenayah dengan memanfaatkan pendigitalan, analitik data dan AI sebagai pemangkin penyampaian perkhidmatan lebih cekap serta berkesan.
“Kepolisan pintar yang dibangunkan itu bukan sekadar penggunaan teknologi moden namun budaya membuat keputusan berasaskan data, penyampaian khidmat digital dan pengurusan operasi lebih responsif, tepat serta berintegriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Inovasi PDRM 2026 bertemakan ‘Pendigitalan Menjana Kepolisan Pintar’ di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini.
Menurut Ayob Khan, inovasi menjadi pemacu utama kepada transformasi PDRM ke arah sebuah organisasi moden, profesional dan berdaya tahan.
“Setiap idea yang dihasilkan itu diterjemahkan kepada penyelesaian yang mampu meningkatkan keberkesanan operasi, memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan memberi nilai tambah kepada organisasi.
“Saya bangga dengan inisiatif inovasi menerusi penyelidikan dan pembangunan ke arah memanfaatkan teknologi digital dan aplikasi berasaskan AI, selaras hala tuju transformasi PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN),” ujarnya.- KOSMO! ONLINE.














