SEREMBAN – DAP menganggap isu membabitkan keputusan parti berkenaan menarik diri dari kerajaan negeri di Melaka sudah muktamad.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau tidak lagi mempunyai sebarang ulasan lanjut berhubung perkara itu kerana pendirian parti telah dijelaskan sebelum ini.
“Tak ada apa-apa. Pendirian kita adalah menghormati keputusan DAP Melaka. Kerajaan negeri juga telah pun mengubah kedudukan kerusi di Dewan Undangan Negeri melibatkan DAP. Jadi itu dah menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Madani, Sekolah Angkat Madani dan Santuni Madani Kementerian Pengangkutan Tahun 2026 di Kampung Mantin Dalam, di sini, pagi tadi.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai strategi parti lawan yang hanya mengumumkan calon di beberapa kerusi dan dijangka akan membuat kerjasama politik dengan beberapa parti lain termasuk Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 tidak lama lagi, Anthony berkata, perkara itu sudah dijangkakan.-KOSMO! ONLINE.















