Dalam kehidupan seharian kadangkala ada dalam kalangan kita mengeluh mengenang nasib diri tidak seberuntung orang lain yang punya segalanya, sedangkan kita masih berusaha mencari sesuap nasi seadanya saban hari.
Kita kena yakin setiap manusia dilahirkan dengan nasib berbeza, ada lahir ke dunia ditatang dalam dulang emas, ada yang hidup melarat, ada pula hanya cukup-cukup makan. Semua itu ketentuan dan ujian daripada Allah agar manusia bersyukur dengan nikmat dikurniakan, selain berusaha memperbaiki diri ke arah lebih baik.
Mungkin ada yang berasa iri hati dengan sesetengah orang yang hidup mereka kelihatan mewah, sedangkan kita terpaksa melakukan dua atau tiga pekerjaan untuk kelangsungan hidup dalam zaman serba mahal sekarang disebabkan peningkatan kos sara hidup.
Ada orang keluar pagi balik malam dengan ‘berlari’ dalam diam, bukan mahu mengejar sesuatu yang besar, cuma ingin mencukupkan apa yang kurang dengan menyembunyikan luka yang tidak bersuara.
Itulah realiti kehidupan masa kini yang memerlukan kita sentiasa berlapang dada selain menerima seadanya serta berusaha memperbaiki kehidupan yang lebih baik.
Dalam hal ini, jika kita selalu membandingkan diri dengan orang lain hanya membawa tekanan mental dan sakit hati kerana kita tengok orang ada rumah besar, kita pun mahu yang sama sedangkan kita tidak tahu benarkah mereka bahagia dalam situasi seperti itu?
Bahagia itu sebenarnya subjektif, apa yang kita rasa tidak sama dengan apa dikecapi oleh orang lain. Mungkin bagi kita, jika mempunyai wang jutaan ringgit itu tanda bahagia.
Bagi orang lain pula berbeza, ada yang berasa cukup bahagia jika keperluan peribadi dan untuk keluarga dapat dipenuhi, mereka rasa cukup dan tidak perlu mengeluh lagi.
Apa yang penting setiap daripada kita fokus pada perjalanan sendiri dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Setiap orang ada fasa kehidupan tersendiri dan diuji dengan cara berbeza.
Jika kita mahu bahagia tanpa memikirkan apa orang lain ada, cuba lihat hidup mereka yang berada di bawah dan bukannya melihat orang yang di atas.
Dengan ini barulah kita akan berasa bersyukur dengan nikmat dan kurniaan Allah dan kehidupan menjadi lebih tenang.
Jangan bandingkan antara berlian dan garam walaupun ia berkilauan dan disukai ramai orang, tetapi percayalah garam diperlukan banyak
orang kerana selalu hadir dalam setiap hidangan yang memberi rasa dan makna dalam hidup orang lain.
Biarpun ramai berkata hidup pada zaman ini terlalu keras, percayalah jika kita tetap berusaha sebaiknya pasti perubahan akan muncul dalam kehidupan.
Biarpun tidak mewah seperti orang lain, sekurang-kurangnya keperluan yang diinginkan sudah dapat dipenuhi. Hidup bukan pertandingan, tetapi sebuah perjalanan yang panjang.
Hiduplah dengan sederhana kerana kehidupan itu amat singkat seumpama waktu azan dan solat. Kita lahir ke dunia diazankan, kita mati pula akan disolatkan. Justeru, jangan terlalu stres dengan apa yang kita tak punya.














