PETALING JAYA – “Kami hanya berharap dapat jumpa siapa (individu) yang tolong panggil ambulans, siapa yang terlibat atau sesiapa yang melihat kejadian tersebut.”
Demikian rayuan seorang pengguna media sosial Ayliaaa01 yang buntu mencari saksi dan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berhubung kemalangan tragis yang menimpa seorang penunggang motosikal di Lebuh Raya Persekutuan di hadapan Central i-City, Shah Alam, baru-baru ini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads oleh akaun Sofeasukri, kemalangan tersebut dipercayai berlaku di hadapan pusat beli-belah berkenaan antara pukul 11 malam dan 1 pagi, 13 Julai lalu.
Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan kini dilaporkan dalam keadaan kritikal di Hospital Shah Alam.
“Mangsa sekarang berada di unit rawatan rapi (ICU), masih koma dan doktor telah isytihar dia mengalami mati otak (brain dead),” katanya menerusi hantaran tersebut.
Lebih menyedihkan, satu perkongsian video TikTok turut memaparkan saat memilukan apabila anak sulung mangsa yang masih kecil dibenarkan melawat bapanya terlantar di wad berkenaan.
Difahamkan, mangsa mempunyai seorang isteri yang sedang sarat mengandung dan dijangka melahirkan cahaya mata kedua bulan depan.
Sehingga kini, pihak keluarga masih belum mendapat sebarang maklumat atau saksi kejadian bagi membantu merungkai kejadian kemalangan terbabit.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau berada di lokasi kejadian, atau mempunyai rakaman dashcam diminta menghubungi ahli keluarga mangsa atau menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
@ayliaaa01 14/7/2026 masih belum ada saksi kejadian. Mangsa masih koma dan mempunyai anak kecik dan bayi yang bakal lahir bulan 8. Hanya berharap dapat jumpa siapa yang tolong call emergency, siapa yang terlibat/siapa yang melihat kejadian tersebut. Harap semua dapat membantu terima kasih. Dan berharap dapat mendoakan mangsa untuk sedar.apa ii info boleh dm sy #repost ♬ suara asli – Vibes lyrics only🥀 – HairLuxLab Official Store















