KOTA BHARU – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang dia tunggang dihempap sebatang pokok pulai dipercayai berusia lebih 200 tahun ekoran kejadian ribut di Kampung Petani, Sering di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, mangsa, Sauti Mohamad, 55, yang menunggang motosikal jenis Yamaha SS110 disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan pada beberapa anggota badan.
Saksi kejadian, Aziz Ismail, 48, berkata, dia terdengar bunyi dentuman berhampiran rumahnya sebelum melihat sebatang pokok pulai yang sudah reput tumbang melintang jalan.
Katanya, secara kebetulan, sebuah jengkaut melalui jalan berkenaan sebelum diminta membantu mengalihkan pokok tersebut.
“Selepas pokok dialihkan, saya terkejut melihat seorang lelaki terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri atas jalan. Saya percaya mangsa sudah meninggal dunia dan meminta bantuan orang ramai untuk menghubungi talian kecemasan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Aziz tidak menolak kemungkinan akarnya sudah uzur dan pokok tersebut dipercayai berusia lebih 200 tahun. – KOSMO! ONLINE















