GEORGE TOWN – Seorang pemancing dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut, di Jambatan Pulau Pinang berhampiran tiang nombor lima menghala ke pulau di sini, hari ini.
Mangsa lelaki berusia 39 tahun itu sehingga kini dikatakan masih gagal ditemui.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan dari pasukan Maritim Malaysia yang memohon bantuan operasi mencari dan menyelamat (SAR), pada pukul 11.16 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Bagan Jermal digerakkan ke lokasi sebelum Pos Kawalan Bomba dibuka di Jabatan Laut.
Beliau berkata, sehingga pukul 4 petang, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. -KOSMO! ONLINE















