fbpx
Gambar jet pejuang FA-50M milik TUDM yang tular di media sosial.

Gambar lima FA-50M TUDM ‘dicat’ terdedah, dijangka sampai tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kemajuan pembinaan pesawat tempur ringan (LCA) FA-50M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus mencuri perhatian apabila sekeping gambar yang memaparkan sekurang-kurangnya lima pesawat itu berada di barisan pengeluaran Korea Aerospace Industries (KAI) tular di media sosial.

Menerusi gambar tersebut, nombor siri M58-01, M58-03, M58-04, M58-05 dan M58-06 dilihat berada dalam fasa pemasangan di kilang KAI di Korea Selatan.

Paling mencuri tumpuan ialah FA-50M M58-01 yang dipercayai telah siap dicat dengan warna operasi TUDM dan dilaporkan hanya menunggu proses penghantaran ke Malaysia.

Menurut laporan Malaysia Military Review, TUDM dijangka menerima empat unit pertama FA-50M secara berperingkat pada Oktober dan Disember tahun ini, sekali gus menjadi permulaan kepada proses pengoperasian pesawat tempur baharu negara.

Malaysia sebelum ini memeterai kontrak bernilai kira-kira AS$920 juta (RM4 bilion) dengan KAI bagi memperoleh 18 buah FA-50M Block 20, iaitu varian paling canggih dalam keluarga FA-50.

Pesawat itu bakal memainkan peranan sebagai pesawat Light Combat Aircraft (LCA) dan Lead-In Fighter Trainer (LIFT) bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara, selain menggantikan aset latihan dan tempur yang semakin berusia.

Perkongsian gambar berkenaan turut menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang tidak sabar melihat FA-50M beroperasi dengan lencana TUDM di ruang udara Malaysia.

“Alhamdulillah, akhirnya nampak semakin dekat. Tak sabar tengok FA-50M buat lintas hormat pada sambutan Hari Kebangsaan nanti,” Haikal Che Wil.

“Cantik betul bila dah siap dicat. Semoga penghantaran berjalan lancar dan aset baharu ini terus memperkukuh pertahanan negara,” tulis Hafizul Zainuddin.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN