TIADA permintaan mewah atau ganjaran luar biasa daripada pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli selepas mencipta sejarah muncul juara di Grand Prix (GP) Republik Czech, sebaliknya hanya mengimpikan sebuah jentera latihan bagi membantunya meningkatkan prestasi.
Pelumba kelahiran Terengganu itu berkata, kemenangan sulung GP dalam saingan Kejuaraan Dunia Moto3 bukan alasan untuk berpuas hati, sebaliknya dia mahu terus bekerja keras bagi memastikan momentum cemerlang itu dapat diteruskan sehingga penghujung musim.
“Saya tak ada minta apa-apa pun. Saya hanya minta jentera latihan dan barangan latihan saja. Macam itu saja saya minta untuk tingkatkan latihan saya lagi dan cuba memburu kemenangan lagi dalam GP,” katanya.
Hakim yang kini berada di tangga ketujuh keseluruhan kejuaraan mengakui tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi dalam perebutan gelaran Rookie of the Year, sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap prestasinya di setiap pusingan perlumbaan.
“Saya tak ada letak harapan yang tinggi untuk Rookie of the Year. Saya lebih fokus kepada prestasi saya dan nak konsisten setiap perlumbaan. Dalam Moto3 banyak lagi perlumbaan yang perlu diharungi, jadi kalau saya boleh kekal konsisten, saya rasa saya mampu mengejar gelaran itu,” katanya.
Selepas mengharungi 11 pusingan musim ini, Hakim kini menghuni tangga ketujuh dengan mengumpul 86 mata, hanya dipisahkan empat mata di belakang pelumba Honda Team Asia dari Indonesia, Veda Ega Pratama yang berada di kedudukan keenam dengan 90 mata.
Kemenangan di Brno turut melonjakkan peluang Hakim memburu gelaran Rookie of the Year apabila dia kini berada di tangga ketiga (86 mata) dan Veda (90 mata), manakala pendahulu kategori itu, Brian Uriarte dari Sepanyol, terus selesa di hadapan dengan 127 mata.















