LONDON – Arsenal sedang giat berusaha untuk menjual penyerangnya, Gabriel Jesus ketika AC Milan dikatakan menjadiu antara kelab paling berminat untuk mendapatkan penyerang Brazil itu.
Jesus, 29, kini memasuki tahun terakhir kontraknya di Emirates dan The Gunners telah memaklumkan kepada kelab-kelab yang berminat bahawa mereka sedia mempertimbangkan tawaran sekitar £20 juta (RM109.18 juta).
Penyerang itu menyertai Arsenal daripada Manchester City pada tahun 2022 dengan nilai perpindahan £45 juta, namun sering dibelenggu masalah kecederaan dalam beberapa musim kebelakangan ini.
Musim lalu, beliau hanya membuat 14 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris dan menjaringkan enam gol dan hanya berada di belakang Viktor Gyokeres dan Kai Havertz dalam hierarki pilihan penyerang Arsenal.
Arsenal melihat jendela perpindahan kali ini sebagai peluang terakhir untuk memperoleh yuran perpindahan sebelum Jesus boleh meninggalkan kelab secara percuma apabila kontraknya tamat musim panas tahun depan.
AC Milan dikatakan mempunyai minat paling serius dalam kalangan kelab Itali dan kini sedang berhubung dengan Arsenal, manakala Juventus turut menilai potensi perpindahan dan sedang mempertimbangkan tawaran harga berkenaan.
Selain itu, Atletico Madrid juga telah menghubungi Arsenal dan sedang mengadakan perbincangan, ketika Arsenal masih berminat untuk mendapatkan Julian Alvarez.
Beberapa kelab dari Turki juga turut menghubungi wakil Jesus apabila Fenerbahce meletakkan pemain itu sebagai sasaran utama mereka untuk pembelian berprofil tinggi dan Besiktas juga menyatakan minat. – AGENSI















