fbpx
JoBranko (tengah) tidak menolak konsert Biru Mata Hitamku barangkali akan menjadi persembahan pentas terakhirnya.

Berpisah, mungkin ini konsert terakhir saya – JoBranko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GENAP tiga dekad merentasi zaman, album Biru Mata Hitamku masih berdiri megah sebagai antara karya berpengaruh dalam sejarah muzik rock tempatan. 

Kini, bingkisan ketujuh kumpulan Wings yang pernah menjadi nadi kepada kebangkitan rock era akhir 1990-an itu bakal kembali bergema di pentas, namun dalam nuansa berbeza.

Lebih daripada keraian ulang tahun, konsert Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversari di Mega Star Arena pada 5 September depan mungkin menjadi detik paling beremosi buat ribuan peminat.

Lebih dramatik, gitaris terkemuka, JoBranko membayangkan aksi mega tersebut barangkali penampilan terakhirnya sepas puluhan tahun beraksi di pentas langsung.

“Mungkin ini konsert terakhir saya, mungkin juga konsert perpisahan.

“Kesempatan ini kami ambil kerana muzik juga merupakan bisnes.

“Bahkan saya lihat idea ini sangat menarik untuk direalisasikan. Saya mahu tinggalkan sesuatu untuk industri rock agar terus berada pada landasan yang baik,” katanya pada pengumuman konsert anjuran Icon Entertainment itu, baru-baru ini.

Album Biru Mata Hitamku edaran tahun 1996 menghimpunkan JoBranko bersama Muss selaku vokalis selain Eddie (bes) dan Black (dram).

Akui pengasas band Barbarik itu, faktor usia membuatkannya melihat konsert tersebut sebagai peluang terakhir untuk meninggalkan kenangan bermakna kepada penggemar.

“Kalau benar ini pengakhiran, saya mahu meninggalkan sesuatu yang boleh dikenang. Saya mahu rock terus hidup dan berada pada landasan tepat,” ujarnya.

Lebih istimewa, persembahan tersebut tidak menggunakan nama kumpulan, sebaliknya mengangkat kekuatan sebuah album yang menjadi simbol kegemilangan genre rock negara.

Berkenaan nama konsert yang tidak ‘menjual’ penyanyi mahupun band, JoBranko atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 56, berkata, dia sukakan sesuatu yang luar daripada kebiasaan.

“Konsert ini yang pertama, tiada nama penyanyi dan band. Saya tak suka buat sesuatu yang orang lain sudah buat. Biar jadi ‘trendsetter’, bukan mengikut,” ujarnya.

Pada masa sama, JoBranko mengakui idea mengadakan konsert berkenaan sudah lama dibawa beberapa penganjur, namun hanya selepas bertemu Iman Tang, keyakinan itu menebal.

Katanya, kesungguhan penganjur yang memahami keseluruhan konsep persembahan membuatkan mereka percaya konsert itu nanti mampu memuaskan penonton.

“Ramai pengikut muzik hari ini tidak sempat melalui zaman kegemilangan album itu. Jadi inilah masa terbaik untuk kami meraikannya dengan piawaian persembahan yang jauh lebih tinggi,” katanya.

Lagu lama, nafas baharu

Bagi Eddie pula, konsert itu merupakan peluang yang sudah lama ditunggu apatah lagi banyak lagu dalam album bersama Muss itu tidak pernah dipersembahkan secara langsung.

Sementara itu, Black menyifatkan penyatuan semula mereka bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi lambang persaudaraan yang dibina sejak berpuluh tahun.

“Apa yang kami ada hari ini adalah sejarah. Empat orang ini mencipta sesuatu yang saya rasa sukar diulang lagi, malah lambang persaudaraan kami,” katanya.

Muss juga berkata, kebanyakan seleksi diberikan nafas baharu sebagai suntikan kelainan, namun tetap mengekalkan kemampuan vokal serta citarasa identiti asal.

Bagi Iman Tang selaku penganjur,  konsert istimewa tersebut dicetuskan atas dasar penghormatan terhadap sebuah album yang membentuk sejarah muzik rock Malaysia.

Baginya, projek itu bukan hanya mengimbau nostalgia, tetapi penghargaan kepada empat legenda terbabit. 

Hakikatnya, apabila lampu pentas mula menyala di Mega Star Arena September nanti, bukan hanya dentuman dram atau laungan vokal, namun terbentanglah sejarah rock negara yang terus mengaum bersama. 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN