MELAKA – Seramai 21 lelaki warga China diberkas selepas dipercayai menjalankan kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud di sebuah banglo dua tingkat di Ayer Keroh yang baru sahaja dua minggu dijadikan pusat operasi sindiket terbabit.
Kesemua suspek berusia antara 23 hingga 54 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 8 malam Isnin lalu yang dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai ditawarkan bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di pusat panggilan sindiket berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan turut mendapati semua suspek gagal mengemukakan pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.
“Modus operandi sindiket adalah memperdaya mangsa melalui tawaran pelaburan dalam talian yang tidak wujud dengan menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.
“Mangsa yang berminat akan diarahkan melayari laman web sebelum diberikan penerangan berkaitan pakej pelaburan yang ditawarkan dan seterusnya komunikasi dengan mangsa akan diambil alih oleh individu lain dalam rangkaian sindiket sehingga mereka membuat transaksi kewangan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.
Halim berkata, berdasarkan siasatan awal, sindiket itu dipercayai menyasarkan rakyat China sebagai mangsa penipuan pelaburan saham yang tidak wujud.
Katanya, polis turut merampas lapan set komputer lengkap membabitkan monitor, papan kekunci dan tetikus, tiga komputer riba, dua modem router jenama Skyworth, 14 telefon bimbit jenama iPhone serta satu unit USB adapter dengan nilai keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM25,000 dan kes disiasat Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 – KOSMO! ONLINE















