TEMERLOH – Memandu dalam pengaruh dadah jenis syabu dan mempunyai rekod 42 kesalahan jalan raya yang dikenakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Itu antara kesalahan seorang pemandu lori berusia 41 tahun yang dikesan oleh JPJ melalui Ops Sepadu Dadah di Pahang bermula 1 Julai lalu sehingga hari ini.
Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, dalam penguatkuasaan yang dijalankan di 10 lokasi melibatkan 351 saringan, pihaknya mengesan 10 pemandu lori yang positif dadah.
Katanya, lebih membimbangkan adalah trend menunjukkan pemandu yang positif dadah terbabit mempunyai rantaian kesalahan lalu lintas lampau yang banyak sehingga mencecah 42 kesalahan.
“Kes-kes dikenalpasti ini ada satu trend menggusarkan kerana salah satu kes ini ada 42 saman lampau dan kedua saman tertinggi adalah 11 saman diikuti sembilan saman.
“Selain tindakan di bawah bidang kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), JPJ Pahang juga mengambil tindakan menahan lesen vokasional kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Memandu Barangan (GDL) bagi tujuan siasatan serta menggantung lesen memandu mengikut peruntukan sedia ada,”katanya pada sidang akhbar di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Temerloh di sini malam semalam.
Menurut Syed Ahmad Khirulanwar, daripada 10 lokasi operasi, lima kes dikesan di RnR Temerloh, masing-masing dua kes di Stesen Penguat Kuasa (SPK) Benta dan SPK Paloh Hinai serta satu kes lagi di SPK Maran.
Katanya, pemeriksaan juga mendapati dadah jenis syabu dikesan digunakan oleh pemandu-pemandu lori berkenaan.
Jelasnya, penemuan itu membuktikan keperluan pelaksanaan operasi secara berterusan bagi memastikan hanya pemandu yang benar-benar layak, berintegriti dan bebas daripada penyalahgunaan dadah dibenarkan mengendalikan kenderaan perdagangan di jalan raya,” katanya
Katanya, JPJ Pahang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu yang didapati positif dadah atau melakukan kesalahan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
Sementara itu Pengarah AADK Pahang Aman Mustapha pula berkata, penyalahgunaan methamphetamine yang kini menjadi antara trend utama penggunaan dadah sintetik boleh memberi kesan serius terhadap keupayaan pemanduan serta meningkatkan risiko kemalangan jalan raya. – KOSMO! ONLINE















