PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan reman seorang bekas penjawat awam selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu di bawah program bantuan kewangan berjumlah RM300,000.
Perintah reman selama empat hari sehingga 17 Julai terhadap suspek dikeluarkan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi.
Menurut sumber, suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu ketika masih bertugas antara 2020 dan 2025.
“Suspek juga disyaki menggunakan maklumat 11 individu tanpa pengetahuan mereka untuk memohon bantuan itu dan memperoleh wang bantuan sebanyak RM500 hingga RM1,000 setiap bulan yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohammad Zakkuan Talib mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE















