PETALING JAYA – Kewujudan platform digital yang memberi kemudahan kepada orang ramai melakukan sendiri urusan secara dalam talian memberi tempias kepada ejen insurans dan takaful menyebabkan pendapatan mereka merosot sehingga 30 peratus.
Sebelum ini, khidmat ejen itu kerap digunakan pemilik kenderaan untuk memperbaharui insurans dan cukai jalan sebelum aplikasi dan web mengambil alih sepenuhnya peranan tersebut.
Ketika ini dianggarkan terdapat lebih 15,000 wakil takaful am di seluruh negara termasuk 1,000 orang yang berdaftar di bawah Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (Perwatam).
Seorang ejen insurans, Mohd. Elam Mohamed berkata, sejak 15 tahun lalu, dia menguruskan pelanggan yang mahu memperbaharui cukai jalan dan insurans selain menawarkan khidmat nasihat serta bantuan selepas jualan.
“Sekarang ramai pelanggan yang melakukannya sendiri dengan menggunakan telefon bimbit masing-masing.
“Ada pelanggan yang minta sebut harga daripada agensi kami, namun akhirnya membatalkan urusan kerana platform lain lebih murah dan mudah.
“Agensi saya antara yang terkesan sehingga menyebabkan pendapatan merosot 20 hingga 30 peratus,” katanya kepada Kosmo!.

Mohd. Elam berkata, ejen bertauliah perlu memenuhi pelbagai syarat profesional termasuk menghadiri latihan dan memperoleh jam kredit setiap tahun bagi mengekalkan lesen masing-masing.
Katanya, keadaan itu menyebabkan semakin ramai ejen mempersoalkan mengenai keadilan persaingan dengan kewujudan platform yang didakwa menawarkan perkhidmatan sama tanpa melalui proses yang setara.
“Kami membuka agensi, mempunyai pekerja dan menanggung kos operasi. Kami cuma mahukan padang persaingan yang sama rata,” katanya.
Seorang lagi ejen, Syameem Ahmad, 35, berkata, pelanggan yang memperbaharui polisi melalui ejen bukan sekadar membeli insurans, sebaliknya mendapat khidmat nasihat dan bantuan selepas jualan termasuk pengurusan tuntutan kemalangan, pembatalan polisi dan urusan berkaitan sepanjang tempoh perlindungan.
Beliau yang berpengalaman sebagai ejen selama sembilan tahun berkata, kira-kira 60 peratus pendapatannya bergantung kepada pelanggan sedia ada yang memperbaharui polisi setiap tahun.
“Kira-kira 20 hingga 30 peratus pelanggan saya mula beralih kepada platform digital, jadi kami terpaksa mencari pelanggan baharu. Saya akui tugas itu bukan mudah.
“Untuk mendapatkan pelanggan baharu mungkin senang, tetapi untuk meyakinkan mereka supaya memilih perkhidmatan kami jauh lebih sukar berbanding mengekalkan pelanggan sedia ada,” katanya.

Syameem mengakui terdapat pelanggan yang kembali mendapatkan khidmat ejen selepas berdepan kesukaran termasuk mendapatkan bantuan selepas berlaku kemalangan atau urusan tuntutan.
Katanya, komisen yang diterima ejen tidak besar iaitu 10 peratus daripada nilai premium dan jumlah tersebut digunakan untuk menampung kos operasi seperti gaji kakitangan, sewa pejabat, utiliti dan cukai.
“Ramai yang fikir kami mendapat untung besar, sedangkan komisen itu digunakan untuk membayar kos operasi. Jadi bila sebahagian pelanggan ‘lari’, kesannya amat dirasai,” katanya.
Sementara itu, Presiden Perwatam, Datuk Khairi Anuar Ahmad mendakwa, kemudahan platform digital untuk memperbaharui insurans berpotensi memberi kesan besar kepada ribuan ejen insurans dan takaful di seluruh negara sekiranya isu persaingan industri tidak diteliti.
Menurut beliau, Perwatam mempunyai hampir 1,000 ahli, namun jumlah keseluruhan wakil takaful am di negara ini dianggarkan melebihi 15,000 orang.
“Kami tidak menolak usaha pendigitalan kerajaan. Kami menyokong transformasi digital, tetapi ia perlu dilaksanakan secara adil kepada semua pemain industri.
“Kalau persaingan itu sihat, kami tiada masalah. Namun apabila hanya pihak tertentu diberi ruang dalam platform rasmi kerajaan, ia menimbulkan persoalan mengenai kesaksamaan kepada ejen yang bertahun-tahun membina kerjaya dalam industri ini,” katanya.
Beliau mendakwa, sekiranya trend itu berterusan, ia bukan sahaja menjejaskan pendapatan ejen, malah memberi kesan kepada kelangsungan perniagaan agensi yang menyediakan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada ekonomi negara.
Sehubungan itu, Perwatam menggesa kerajaan supaya meneliti semula pelaksanaan inisiatif berkaitan termasuk mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri.
Langkah itu bagi memastikan transformasi digital dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kelangsungan mata pencarian ejen berlesen.















