fbpx
Amin dan Siti Zaleha yang memakai persalinan berwarna merah hati diraikan rakan-rakan dalam satu majlis pernikahan baru-baru ini.

Empat kali salah sebut nama bini depan tok kadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang lelaki mualaf mencuri perhatian apabila terpaksa melafazkan akad nikah sebanyak lima kali selepas tersasul menyebut nama isteri­nya, Siti Zaleha Abdullah, 47.

Detik mendebarkan itu bermula apabila Amin Lai Abdullah, 56, berbangsa Cina yang pelat tersasul menyebut, ‘Salena Benteng Abdullah’.

Kisah perkahwinan Amin dan Siti Zaleha yang berbangsa India pada 11 Julai lalu tular selepas dikongsi seorang wanita, Fatehah Choo, 32, menerusi platform Threads sehingga menarik perhatian pengguna yang terharu dengan keikhlasan serta kesederhanaan majlis tersebut.

Pasangan berkenaan telah memeluk Islam kira-kira setahun yang lalu.

Fatehah berkata, perkenalan pasangan pengantin yang juga orang kurang upaya (OKU) itu bermula ketika menghadiri Kursus Tahsin Solat anjuran Lembaga Zakat Selangor di Baitul Hikmah, Hulu Yam pada 8 hingga 10 Mei lalu.

“Pengantin lelaki ini ada ma­salah pelat sikit. Sewaktu maj­lis akad nikah di pejabat agama, dia tersasul sebut nama bakal iste­rinya menjadi ‘Salena Benteng Abdullah’.

“Pengantin lelaki mencuba dan tersasul sehingga empat kali. Masuk kali kelima, barulah dia berjaya melafazkan akad nikah dengan sah dan lancar,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, katanya, maj­lis jamuan dan urusan akad nikah berkenaan dijayakan empat rakan mualaf, terutamanya Siti Nuratikah Abdullah yang merupakan ustazah serta pegawai bertugas program Lembaga Zakat Selangor.

Lebih menarik katanya, rakan-rakan mualaf turut bergotong-royong menaja bahan masakan dengan pelamin unik bertemakan Sarawak turut direka khas menggunakan bahan sedia ada.

“Majlis mereka sangat ringkas. Kawan-kawan yang tolong masak, hias pelamin, pinjamkan rumah dan bilik. Yang datang hari itu pun semua kakak-kakak jiran dan kenalan rapat,” ujarnya.

Mengulas mengenai kehadi­rannya di majlis berkenaan, dia dijemput berikutan ibu mentua­nya yang juga seorang mualaf berbangsa India merupakan rakan rapat kepada pasangan pengantin serta pernah mengajar di pejabat agama.

“Saya memang selalu bawa kamera bersama. Apabila te­ngok mereka hanya ambil gambar guna telefon bimbit sahaja, saya terus buat keputusan untuk ambil gambar perkahwinan mereka.

“Kasihan pula tengok hari bahagia mereka tiada jurufoto khas, jadi saya tolong abadikan momen indah mereka,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN