fbpx
DANISH sememangnya mempunyai bakat dalam kepimpinan yang ditimba sejak di universiti.

Danish bawa suara belia Malaysia ke pentas dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERBEKALKAN pengalaman dalam kepimpinan pelajar dan minat terhadap isu dasar global, seorang anak muda dari Kuala Lumpur mengharumkan nama negara apabila dipilih mewakili Malaysia keSidang Kemuncak Remaja Dunia 2026 di Paris, Perancis baru-baru ini.

Muhammad Danish Itqan Azli, 24, dipilih sebagai delegasi selepas berjaya melalui proses pemilihan yang dijalankan oleh Center for International Policy and Sustainability (CIPS) yang berpangkalan di Kanada.

Youth World Summit 2026 yang berlangsung pada 11 hingga 14 Jun lalu menghimpunkan pemimpin muda, pembuat dasar, golongan profesional muda dan aktivis dari lebih 50 negara.

Berkongsi dengan K-Remaja, anak muda yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Ekonomi) Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, dia berasa terkejut dan teruja apabila menerima e-mel memaklumkan pemilihannya sebagai delegasi yang mewakili Malaysia.

“Saya berasa sangat terkejut, teruja dan gembira pada masa yang sama kerana dipilih sebagai delegasi mewakili negara tercinta, Malaysia.

“Ia merupakan satu penghormatan dan pengalaman yang amat bermakna untuk membawa serta memperkenalkan nama negara di peringkat dunia,” katanya yang mesra disapa Danish.

Youth World Summit 2026 membincangkan pelbagai isu global termasuk tadbir urus belia dan global, Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), kepimpinan diplomasi serta kewarganegaraan global.

Sidang kemuncak itu turut menjadi platform bagi memberi peluang kepada golongan muda berkongsi idea dan pandangan dalam pembentukan dasar antarabangsa selaras dengan United Nations Youth, Peace and Security Agenda, European Union Youth Strategy 2019–2027 serta UN Youth 2030 Framework.

Bagi Danish, penyertaan ke Paris bukanlah pengalaman antarabangsa pertamanya.

Sebelum ini, dia pernah menyertai beberapa program antarabangsa di Indonesia dan Thailand sebagai wakil universiti.

“Bagaimanapun, ini merupakan kali pertama saya mewakili Malaysia sebagai individu dan saya berharap ia bukan kali yang terakhir,” katanya.

Sepanjang persidangan, pelbagai isu dibincangkan oleh peserta dari seluruh dunia.

MENURUT Danish, antara topik yang paling banyak mendapat perhatian ialah pendidikan, peluang pekerjaan, kesihatan mental dan kesejahteraan, selain perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Ramai peserta terdiri daripada pelajar peringkat ijazah dan sarjana, jadi mereka banyak membincangkan isu pendidikan dan pekerjaan.

Danish bersama sebahagian delegasi bergambar di hadapan mercu popular, Menara Eiffel di Paris.

“Selain itu, kesihatan mental dan kesejahteraan juga merupakan antara isu yang dibincangkan secara meluas.

“AI pula menjadi antara isu paling kontroversi di dunia ketika ini,” katanya.

Mengulas persamaan dan perbezaan cabaran yang dihadapi oleh negara-negara peserta, Danish berkata, AI merupakan antara cabaran yang dikongsi oleh hampir semua negara.

“Pada saya, AI sangat berguna dalam kehidupan seharian.

“Namun, masih banyak perkara mengenainya yang perlu dikaji dan diberikan perhatian melalui penyelidikan kerana ia merupakan pelaburan untuk masa depan.

“Pada masa sama, cabaran berkaitan dasar dan pelaburan berbeza antara sesebuah negara kerana ia bergantung kepada faktor geografi, politik serta keperluan rakyat negara masing-masing.

“Sebagai contoh, Malaysia dan Indonesia mempunyai persamaan dari segi etnik, agama dan kaum, namun kedua-dua negara mempunyai dasar dan strategi pelaburan yang berbeza,” katanya.

Salah satu pengalaman paling bermakna sepanjang berada di Paris ujar Danish adalah lawatan rasmi ke ibu pejabat Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD).

Menurut Danish, dia kagum dengan jaringan antarabangsa yang dimiliki organisasi itu serta peranannya dalam membantu membentuk dasar ekonomi dan kesejahteraan manusia di seluruh dunia.

“Perkara yang paling menarik bagi saya ialah melihat betapa luasnya rangkaian OECD di seluruh dunia.

“Fungsi serta objektif organisasi itu juga sangat meyakinkan dalam membantu membentuk dasar ekonomi dan kesejahteraan manusia,” katanya.

Delegasi turut berpeluang bertemu Duta dan Wakil Tetap Kanada ke OECD, Jean-Francois Tremblay, selain menjalinkan hubungan dengan pemimpin muda dari Amerika Syarikat, Sepanyol, Brazil, United Kingdom, Australia, Chile dan beberapa negara lain.

Ditanya mengenai cadangan yang boleh dilaksanakan di Malaysia, Danish berpandangan negara perlu memberi penekanan terhadap pembangunan bakat dalam bidang AI.

“Saya mencadangkan supaya diwujudkan dasar pendidikan AI di peringkat nasional agar golongan muda dapat dilengkapi dengan pengetahuan AI serta kemahiran digital.

“Selain itu, program latihan dan peningkatan kemahiran AI juga perlu diperluas bagi meningkatkan kebolehpasaran belia kerana kita masih belum mempunyai ramai bakat dalam sektor dan industri AI,” katanya.

Menurutnya, Malaysia memerlukan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang tersebut bagi meningkatkan daya saing negara.

“Kita memerlukan lebih ramai bakat dan pakar dalam AI. AI merupakan teknologi yang sedang membentuk dunia hari ini.

“Kita perlu menambah ilmu serta menjalankan lebih banyak penyelidikan supaya Malaysia dapat menjadi antara negara pilihan pelabur hasil kepakaran yang dimiliki dalam bidang AI,” katanya.

Menyorot kehidupannya semasa mengikuti pengajian di universiti, Danish memberitahu dia merupakan penerima Biasiswa Maybank Group Scholarships.

Dia juga pernah memegang jawatan dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM bagi sesi 2023/2024 serta Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Kolej Matrikulasi Melaka bagi sesi 2020/2021.

Mengakhiri bicara, Danish berharap lebih ramai anak muda berani mencabar diri untuk meneroka peluang di luar zon selesa.

“Nasihat saya kepada golongan muda ialah keluarlah dari zon selesa kerana kita mungkin akan menemui bakat atau kemahiran yang tidak pernah disedari sebelum ini.

“Teruskan belajar setiap hari kerana saya percaya pendidikan ialah satu-satunya perkara yang tidak boleh diambil daripada diri kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN