KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman terhadap pelawak Harith Iskander atas dakwaan menjadi mangsa penghinaan fizikal dalam satu persembahan komedi Januari lalu.
Rosmah, 74, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Hafarizam & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi di sini, pada 9 Jun lepas, dengan menamakan Harith Iskander atau nama sebenarnya Harith Iskander Musa, 60, sebagai defendan.
Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 31 Julai ini.
Berdasarkan penyataan tuntutan, Rosmah mendakwa defendan telah mengadakan suatu persembahan komedi berdiri (stand-up comedy) bertajuk “Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour” di hotel terbabit pada 17 Januari lalu, dengan memaparkan imej dan membuat kenyataan fitnah terhadap Rosmah di hadapan sejumlah besar penonton bagi mendapatkan reaksi ketawa serta hiburan daripada orang awam.
“Harith Iskander telah memaparkan imej berkaitan makhluk mitologi seram dalam kepercayaan masyarakat Malaysia termasuk toyol, pontianak dan pocong sebelum memaparkan imej beliau.
“Defendan kemudian telah mengeluarkan kenyataan yang membawa maksud bahawa seseorang yang melihat cermin pandang belakang ketika memandu di jalan gelap akan melihat sesuatu yang menakutkan.
“Selepas itu defendan telah memaparkan imej saya kepada penonton yang secara jelas menggambarkan saya sebagai sesuatu yang menakutkan itu dan mengaitkan saya dengan makhluk seram tersebut,” dakwa Rosmah.
Selain itu, Rosmah berkata seorang pengguna TikTok dikenali sebagai @mayychan0303 telah memuat naik dua rakaman persembahan itu dengan video pertama meraih 219,700 tontonan dan 3,354 tanda suka, manakala video kedua memperoleh 12,500 tontonan dan 145 tanda suka.
Menurut Rosmah, kenyataan fitnah itu adalah berniat jahat untuk menjatuhkan dan merosakkan nama baiknya selain menghinanya dengan mengeluarkan kenyataan berunsur kecaman badan (body shaming).
Justeru, Rosmah memohon ganti rugi am, teruk dan teladan selain perintah injunksi yang menghalang defendan atau pembantunya daripada menerbitkan, menerbitkan semula dan menyebarkan kenyataan fitnah tersebut serta membuat permohonan maaf yang tidak bersyarat dan menarik balik kenyataan fitnah secara bertulis yang dipersetujui plaintif dalam dua akhbar arus perdana serta di akaun media sosial yang ditentukan oleh plaintif atau peguamnya.
Sementara itu, Harith Iskander dalam penyataan pembelaannya menafikan paparan tersebut menggambarkan Rosmah adalah makhluk seram, sesuatu yang menakutkan, jahat, hodoh, menjijikkan, tidak berperikemanusiaan atau apa-apa maksud fitnah yang dinyatakan plaintif.
“Penerbitan kenyataan yang didakwa fitnah di dalam Tiktok itu telah dibuat tanpa
pengetahuan atau persetujuan saya dan kenyataan tersebut tidak merangkumi konteks penuh persembahan komedi itu,” dakwanya.
Dalam pada itu, peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff bersama Nur-Diana Ezlyn Hashim yang mewakili Rosmah ketika dihubungi pemberita mengesahkan mengenai kes saman itu.
Peguam Sangeet Kaur Deo mewakili Harith Iskander ketika dihubungi juga mengesahkan perkara sama. – KOSMO! ONLINE















