fbpx
Heng Leong (tengah) bersama peguamnya ketika hadir di Mahkamah Majistret hari ini.

Pemandu X70 warga emas nafi pandu berbahaya hingga sebabkan kematian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu berbahaya sehingga menyebabkan kematian terhadap seorang penunggang motosikal pada Mei lalu.

Bagaimanapun tertuduh Fong Heng Leong, 72, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Natasya Mohtarudin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pemandu kereta jenis Proton X70 telah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian kepada Azim Haikal Noor Aziddin, 22.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan 17/21 Petaling Jaya di sini pukul 1.42 petang pada 5 Mei lalu (2026) yang didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.

Sementara bagi Seksyen 41(2) dan (3) APJ memperuntukkan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan dan sabitan diendorskan pada lesen memandu orang disabitkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 September bagi sebutan semula kes.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sadiah Fasihah Che Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Suraj Singh.

Pada 5 Mei lalu, media melaporkan media melaporkan seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kemalangan di Jalan 17/21, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.08 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar pukul 1.45 petang apabila sebuah Proton X70 berwarna kelabu dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Ujar Shamsudin akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN